Orang awam bersama keluarga meluangkan masa hujung minggu dengan beriadah selepas kerajaan membenarkan aktiviti berkelah semasa tempoh Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sungai Congkak, Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 05 SEPTEMBER 2021.

HULU LANGAT – Peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Selangor dan Kuala Lumpur (KL) perlu selaras bagi memudahkan sebarang aktiviti rakyat di negeri dan wilayah tersebut.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, rata-rata rakyat juga mahu peralihan fasa 1 ke fasa 2 PPN dikuatkuasakan dalam masa terdekat berikutan jumlah vaksinasi penduduk yang dilihat semakin meningkat.

Guru tadika, Isya Medihie, 25, berkata, peralihan fasa PPN bagi Selangor dan Kuala Lumpur perlu dijalankan secara serentak bagi melancarkan pembukaan sektor ekonomi, pelancongan dan pendidikan.

Isya Medihie. Foto AFFAN FAUZI, 05 SEPTEMBER 2021.

“Semua orang tahu Selangor dan KL ini berada bersebelahan jadi kalau satu negeri sahaja yang berubah fasa PPN, satu lagi negeri akan rasa tidak adil.

“Sekiranya peralihan dari fasa 1 ke fasa 2 akan dibuat tidak lama lagi, kedua-dua peralihan fasa itu perlu berjalan serentak. Kita ambil contoh mudah, orang Kuala Lumpur boleh masuk ke Hulu Langat untuk beriadah di sini dan orang Hulu Langat pun boleh ke Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Farhain Rusli. Foto AFFAN FAUZI, 05 SEPTEMBER 2021.

Sementara itu, peniaga, Farhain Rusli, 33, berpendapat Selangor perlu beralih ke fasa seterusnya dengan lebih pantas berikutan terdapat pelbagai daya tarikan orang ramai di negeri tersebut.

Jelas Farhain, sekiranya Selangor atau Kuala Lumpur berada dalam fasa PPN yang berlainan, tidak mustahil rakyat bakal berdepan dengan kekangan kemudahan dan prosedur operasi standard (SOP).

“Memandangkan Selangor dan KL adalah jiran tetangga, kalau KL beralih ke Fasa 2 PPN maka Selangor pun digalakkan beralih ke fasa sama kerana masing-masing saling memerlukan, orang KL ada kerja di Selangor dan sebaliknya.

“Apabila negeri tersebut berada pada fasa berlainan sudah tentu rakyat akan merasa susah dengan kekangan SOP dan kemudahan yang ada.

“Ini kerana angka kes Covid-19 juga tidak jauh beza, harap kalau KL berubah ke fasa 2 maka Selangor pun akan berubah juga sebab Selangor banyak lagi tempat tarikan yang masih belum dapat dibuka, sementara di KL kebanyakan pusat beli-belah sudah beroperasi seperti biasa,” ujarnya.

Mohd Taufik Rusli. Foto AFFAN FAUZI, 05 SEPTEMBER 2021.

Turut senada, pekerja swasta, Mohd Taufik Rusli, 31, berpendapat bahawa fasa peralihan PPN perlu diselaraskan di Lembah Klang kerana kebanyakan individu yang bekerja di Kuala Lumpur menetap di Selangor.

“Kalau kita lihat fasa PPN ini juga saling berhubung kait bagi negeri-negeri tersebut, kalau ia tidak selaras maka rakyat yang akan berdepan dengan kesusahan.

“Tempat peranginan di negeri Selangor ini juga banyak yang terjejas, kalau sudah beralih ke fasa 2 PPN mungkin lebih banyak lokasi tumpuan yang boleh dibuka secara berperingkat sekali gus membantu para peniaga kecil untuk bernafas kembali ketika musim pandemik Covid-19,” ujarnya.

Pada 29 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan akan melihat secara terperinci peralihan fasa PPN di Lembah Klang berikutan kadar vaksinasi, sama ada suntikan lengkap atau dua dos sudah mencapai kadar 89.5 peratus.

Sebagai rekod, lima negeri dan wilayah masih dalam fasa 1 PPN, iaitu Kedah, Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala fasa 2 membabitkan Kelantan, Pahang, Terengganu, Melaka, Sabah, Perak dan Pulau Pinang.

Negeri yang berada dalam fasa 3 pula adalah Perlis, Negeri Sembilan dan Sarawak dan setakat ini hanya Wilayah Persekutuan Labuan yang memasuki fasa 4 sejak 26 Ogos lalu. – MalaysiaGazette