Gambar Hiasan. Foto HAZROL ZAINAL, 22 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan disaran supaya membuka semula sesi persekolahan hanya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan besar di peringkat menengah pada 3 Oktober depan.

Dr Anuar Ahmad yang merupakan Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan berkata, hanya calonn Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dibenarkan bagi tujuan itu.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, saranan itu tidak mengambil kira sama ada sekolah di negeri fasa satu, dua, tiga atau empat kerana tidak ada perbezaan yang besar antara fasa-fasa tersebut pada masa sekarang.

Bagaimanapun katanya, kesemua pelajar berkenaan perlu memenuhi syarat iaitu telah lengkap dua dos vaksin dan telah melepasi 14 hari selepas tarikh vaksinasi kedua.

Anuar Ahmad

“Semua guru-guru yang mengajar tahun peperiksaan, pekerja pejabat sekolah, pekerja kantin, pengawal keselamatan sekolah dan pemandu bas mestilah lengkap dua dos vaksin dan telah melepasi 14 hari vaksinasi kedua termasuk ibubapa dan ahli keluarga yang tinggal serumah dengan pelajar-pelajar bagi tahun peperiksaan berkenaan,” katanya.

Artikel berkaitan:

Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, KPM juga mestilah telah selesai membentangkan kepada rakyat berhubung Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini pembukaan sekolah yang merangkumi SOP keluarga, SOP perjalanan pergi dan balik sekolah dan SOP dalam kawasan sekolah yang jelas dan boleh difahami dengan mudah.

Katanya, murid-murid bukan tahun peperiksaan pula boleh meneruskan pembelajaran menerusi kaedag Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga hujung tahun ini atau sehingga kes baru Covid-19 menurun ke angka yang dianggap selamat dan terkawal oleh Kementerian Kesihata Malaysia (KKM) di negeri-negeri berkaitan.

Bagi guru-guru yang berkeras tidak mahu menerima vaksin pula katanya, mereka bolehlah diarahkan mengajar secara PdPR kepada pelajar bukan tahun peperiksaan. – MalaysiaGazette

n