Hasni Mohammad

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor bakal menerima sumbangan sebanyak 400,640 dos vaksin Covid-19 dari Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam masa terdekat ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, sumbangan Singapura ekoran persahabatan erat antara Johor dan negara Seberang Tambak itu manakala UAE pula menghulurkan bantuan hasil usaha bekas Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Pada masa yang terdekat ni, Singapura akan menyumbang kepada kita kira-kira 100,640 dos vaksin Pfizer.
“Manakala, UAE pula akan menyumbang 300,000 dos vaksin Sinopharm,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, hari ini.
Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, jumlah vaksin yang diterima Johor di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) antara tempoh 1 Mac sehingga semalam adalah sebanyak 4,713,800 dos.
Vaksin yang diterima, katanya, merangkumi Pfizer sebanyak 2,460,510 dos, Sinovac (1,842,540 dos) dan AstraZeneca (410,750 dos).
Dalam pada itu, bagi meringankan beban kerja Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik diambil pelbagai agensi kerajaan.
Menurut beliau, kerajaan negeri telah mengggerakkan sukarelawan Southern Volunteer untuk membantu proses pendaftaran program pemvaksinan dan mengadakan kempen di peringkat agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah, penghulu-penghulu dan Jabatan Perpaduan.
“Dalam aspek pematuhan kepada SOP dan pembudayaan norma baharu pula, peranan pemimpin masyarakat telah diperkasakan menerusi program Inisiatif Pemimpin Advokasi Covid-19 atau (I-PAC).
“Melalui program ini, sedikit sebanyak ia telah meringankan beban kerja JKNJ dan agensi-agensi penguatkuasaan dalam memastikan kepatuhan dan pembudayaan norma baharu diikuti oleh rakyat Johor secara umumnya,” katanya.
JKNJ juga, katanya, telah melancarkan inisiatif Virtual Covid-19 Assessment Centre (V-CAC) bagi memudah cara pengurusan pesakit positif pandemik itu dan pencarian kontak rapat, selain dapat mengurangkan keberadaan fizikal individu di semua 111 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh Johor. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast