Orang ramai menjamu selera di restoran berikutan kebenaran makan di restoran bermula tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Foto MOHD ADZLAN.

KUALA LUMPUR – Biar pun kelonggaran makan di kedai diberikan kepada mereka yang lengkap dos vaksin namun masih ramai sebenarnya tidak mahu berbuat demikian.

Dapatan kaji selidik yang dibuat oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI mendapati sebanyak 63.2 peratus responden masih belum bersedia berbuat demikian.

“Kaji selidik dijalankan ke atas 1,044 rakyat Malaysia dan margin kesalahan sampel +/- 3 peratus. Di dalam kaji selidik itu, beberapa soalan diajukan dan jawapan yang diberikan adalah kerisauan mereka terhadap kes harian yang begitu tinggi,” jelas kenyataan UCSI hari ini.

Biar pun begitu, hasil jawapan juga mendapati mereka hanya akan keluar ke kedai makan jika kes harian turun serta keadaan kedai yang benar-benar mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Selain itu juga, kaji selidik mendapati hanya empat peratus yang mengulangi makan di kedai melebihi dua kali dalam seminggu manakala 20.8 peratus adalah mereka yang hanya sekali makan di kedai,” jelas kenyataan yang sama.

Menerusi kaji selidik itu, peratusan makan di kedai meningkat untuk seminggu selepas kelonggaran diberikan.

Sebanyak 17.1 peratus dapatan menjelaskan akan makan di kedai sekali sahaja dan 6.1 peratus akan makan lebih daripada dua kali dalam masa seminggu.

Selain khuatir terhadap kes harian, ada juga yang merasakan masih tidak selamat untuk makan di kedai walaupun patuh dengan SOP yang ketat.

Sebanyak 27.8 peratus pula adalah mereka yang masih belum lengkap vaksin.

Selain itu, alasan responden yang merancang untuk makan di kedai pada minggu akan datang adalah seperti berikut:

Keputusan kaji selidik menunjukkan tiada perubahan besar dalam kesediaan orang awam untuk makan di kedai pada masa terdekat dan mereka yang telah pun makan di luar ini mungkin akan lebih kerap melakukannya.

Secara umumnya, orang awam merasa tidak selamat makan di kedai walaupun dengan mematuhi SOP yang ketat memandangkan laporan kes harian Covid-19 yang masih tinggi.

Populasi yang telah divaksin adalah kunci utama untuk mencapai imuniti kelompok namun orang awam mungkin akan kembali yakin untuk aktiviti ekonomi terutamanya makan di kedai selepas kes harian pandemik berkurangan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast