Tertuduh, K.Sathiaseelan didakwa di Mahkamah Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Seorang pekerja kilang didenda RM8,000 selepas didapati bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan melakukan perbuatan khianat menyebabkan kerosakan pada skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap K. Sathiaseelan, 37, selepas tertuduh mengaku salah melakukan perbuatan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan Sathiaseelan menjalani hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Sathiaseelan didakwa melakukan perbuatan khianat sehingga menyebabkan kerosakan pada skrin mesin ATM kepunyaan bank CIMB di Taman Chai Leng, Perai di sini.

Tertuduh, Sathiaseelan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca terhadapnya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan menyebabkan pihak bank mengalami kerugian RM4,905.20 jam 2.38 petang, 31 Ogos lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh tidak diwakili peguam dalam rayuannya, memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan perlu menjaga isteri dan seorang anak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norafifah Mohd Shokri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

ARTIKEL BERKAITAN

MalaysiaGazette pada Sabtu lalu melaporkan seorang lelaki bertindak memecahkan pelapik skrin tiga mesin pengeluaran wang automatik akibat berang tidak boleh mengeluarkan wang di sebuah bank di Taman Chai Leng, pada Selasa lalu.

Suspek berusia 37 tahun itu ditahan sehari selepas kejadian di sekitar Perai.

Pekerja sebuah kilang itu turut mengaku memecahkan pelapik skrin tiga mesin ATM menggunakan topi keledar dan tong sampah dalam bank ekoran berang gagal mengeluarkan wang. – MalaysiaGazette