Gambar Hiasan

SUNGAI PETANI – Polis telah menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan memperdayakan seorang peniaga dalam urusan pembelian telefon pintar jenama iPhone.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abd Rahman berkata, dua suspek berusia 19 dan 33 tahun berjumpa dengan mangsa untuk membeli telefon pintar jenis iPhone 8 Plus dan iPhone XR yang diiklankan menerusi Facebook, pada 4 September lalu.

Jelas beliau, mereka berjumpa di sebuah stesen minyak di Paya Nahu di sini pada jam 4.30 petang sebelum mangsa menyerahkan dua telefon berkenaan yang bernilai RM2,839 bersama resit kepada suspek.

“Mereka (dua suspek) itu datang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero berjanji untuk buat bayaran ke dalam akaun mangsa sebaik selesai urusan janji temu di hospital.

“Bagaimanapun, suspek tidak membuat sebarang pembayaran, selain gagal dihubungi menyebabkan mangsa tampil membuat laporan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Anuar, susulan itu, pihak polis menahan tiga suspek pada Ahad lalu sebelum merampas dua telefon bimbit jenis iPhone 8 Plus serta Oppo A53.

“Suspek ketiga ditahan itu merupakan individu yang meminjamkan kenderaannya kepada suspek bagi tujuan pembelian telefon bimbit itu.

“Dalam tangkapan itu, kita turut sita kenderaan yang digunakan suspek.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan,” ujar Anuar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette