Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. Foto AFFAN FAUZI, 12 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Barisan Nasional Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim masih belum bebas daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram di mahkamah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merujuk kepada kenyataan peguam bela bekas Pengerusi Tabung Haji itu, Amer Hamzah Arshad yang berhujah di Mahkamah Rayuan semalam bahawa analisis laporan kewangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini membebaskan anak guamnya daripada dakwaan rasuah.

“Di sini SPRM ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut hanya hujahan dan belum diputuskan oleh mahkamah,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan yang dikeluarkan di ibu pejabat di Putrajaya hari ini.

Menurut SPRM, Abdul Azeez sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 13 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, katanya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu menolak permohonannya untuk membatalkan kesemua tuduhan tersebut.

“Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan itu kemudiannya didengar di Mahkamah Rayuan semalam.

“Susulan daripada itu, laporan media yang memetik hujahan tersebut seolah-olah menggambarkan Abdul Azeez telah bebas daripada kesemua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sedangkan mahkamah belum membuat keputusan berhubung kes berkenaan.

“SPRM berharap orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut yang masih dalam perbicaraan sebelum mahkamah mendengar hujah balasan pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam Abdul Azeez pada 6 Oktober depan,” tegas SPRM.-MalaysiaGazette