Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mengemukakan empat faktor yang perlu diutamakan kerajaan bagi memastikan ekonomi negara kembali dijana selepas berdepan dengan pandemik Covid-19.

Ketua Pemudanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, empat faktor utama itu ialah perbelanjaan pengguna, pelaburan, perbelanjaan kerajaan dan eksport bersih atau jumlah eksport tolak import.

“Bagi tujuan memankinkan pertumbuhan ekonomi negara selepas berhadapan pandemik Covid-19 yang panjang, solusi jangka pendek dan panjang ini diperlukan agar empat faktor penting itu mampu dijana kembali.

“Ia dapat menangani masalah jaringan keselamatan sosial rakyat, yang mana jutaan rakyat hilang pendapatan akibat diberhentikan kerja, dicutikan tanpa gaji, perniagaan lingkup menyebabkan perbelanjaan dan aliran tunai dalam ekonomi terjejas teruk.

“Rakyat terdesak untuk bayar komitmen bulanan seperti sewa rumah, ansuran kereta, bil utiliti, kad kredit dan sebagainya. Pada masa sama tertekan untuk penuhi tuntutan perut, keperluan dapur keluarga, keperluan persekolahan anak-anak,” katanya di sini, hari ini.

Menurut syraf, pendekatan sama yang dicadangkan Pemuda itu dilakukan di Amerika Syarikat, yang menyaksikan tuntutan hampir sama dengan Pakej Rangsangan USD1.9 trilion diluluskan di bawah Joe Biden awal Mac lalu.

Antaranya, kata beliau, termasuk pemberian USD1400 kepada rakyat (naik daripada USD600), tambahan bantuan kepada perniagaan serta USD350b peruntukan khas bagi kerajaan negeri.

Membenarkan akses kepada dana pencen rakyat seperti KWSP dengan had tertentu dan penangguhan bayaran ansuran agensi kredit dan sektor perbankan.

Justeru, kata beliau, 10 #TuntutanRAKYAT merangkumi suntikan fiskal tambahan kerajaan bagi menambah nilai Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas Covid (BKC), selain penambahbaikan i-Citra KWSP dengan minimum RM10,000 ‘one-off’, moratorium tanpa faedah terakru dan moratorium LPPSA.

Juga bantuan tambahan kepada pengusaha SKS yang terjejas dan hakikatnya mampu menangani keperluan jangka pendek untuk mengembalikan aliran tunai rakyat, menjana kembali ekonomi dan membina keyakinan pasaran agar rakyat mampu dan berani berbelanja.

“Bagi memastikan keseimbangan dalam pertumbuhan agar tidak berlakunya inflasi akibat lambakan tunai semata-mata, kerajaan perlu lakukan beberapa strategi seperti mencipta output dalam bentuk pakej infrastruktur awam.

“Amerika Syarikat juga mengumumkan pembangunan baru dalam bentuk pakej infrastruktur awam bernilai USD 1 trilion pada Julai lalu, hampir sama dengan pengumuman pakej rangsangan.

“Ini juga dilakuan pada zaman Datuk Seri Najib Tun Razak ketika Barisan Nasional (BN) memerintah, yang mana BR1M diisytiharkan setiap tahun dan diumumkan juga projek infrastruktur berskala mega seperti Lebuhraya Pan Borneo, kemudiaan tahun berikutnya diumumkan projek ECRL, tahun seterusnya High Speed Rail KL -Singapore, kemudian Bandar Malaysia, kemudian MRT, kemudian LRT3,” katanya.

Beliau menjelaskan, semua projek mega itu ini mempunyai kesan gandaan ekonomi yang besar, yang memangkinkan pertumbuhan ekonomi dengan cepat.

Menurut Asyraf lagi, projek infrastruktur awam berskala mega mampu mencipta peluang pekerjaan secara langsung mahupun tidak langsung melalui pelbagai industri hiliran yang tercipta di lokaliti terbabit dengan pembangunan tersebut.

Di samping projek infrastruktur mega, kerajaan juga harus menyediakan ekosistem yang baik dan mudah untuk membolehkan anak muda berkecimpung dalam bidang perniagaan termasuk atas talian.

“Mengkaji semula sistem percukaian termasuk insentif cukai diberikan kerajaan kepada golongan usahawan amat membantu peniaga terutama di kalangan SKS untuk memulakan kembali perniagaan selepas pandemik.

“Semua agensi kerajaan yang menawarkan pelbagai geran dan latihan perlu digemblengkan dan diselaraskan kembali agar wujud sinergi berkesan untuk membolehkan usahawan baharu mendapat bantuan yang efektif.

“Kesimpulannya, 10 #TuntutanRAKYAT adalah suatu solusi ekonomi jangka pendek yang penting untuk menyantuni keperluan mendesak rakyat yang amat tertekan, susah dan gelisah untuk meneruskan kelangsungan hidup ketika ini,” katanya.

Namun, kata beliau, kerajaan juga wajar mengimbanginya dengan solusi jangka sederhana dan panjang agar tidak berlakunya inflasi, malah mampu menjana pertumbuhan ekonomi yang berkesan dalam mengharungi bahana pandemik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.