Ahmad Khalidi Supian.

KUALA LUMPUR – Bekas pengadil kebangsaan, Ahmad Khalidi Supian secara peribadi berpendapat Malaysian Football League (MFL) telah menggunakan peraturan yang sedia ada tanpa melihat kepentingan mana-mana kelab khususnya Kelantan FC dan Negeri Sembilan FC.

Jelas bekas pegawai pertandingan berstatus Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang berusia 60 tahun dan berasal dari Kedah itu, MFL telah menjalankan tanggungjawab sebagai pengendali Liga Malaysia dan berlaku adil terhadap rakan kongsi mereka.

Khalidi yang kini bertugas sebagai Pengajar Kecergasan Pengadil FIFA, menegaskan, adalah tidak wajar untuk Ahli Lembaga Pengarah MFL memberikan kemenangan 3-0 ke atas Negeri Sembilan FC memandangkan keputusan pengadil pada perlawanan itu adalah muktamad.

“Keputusan telah dibuat dan mengikut peraturan yang termaktub di dalam Manual Liga Malaysia 2021. Jadi, saya fikir MFL telah melaksanakan tugas sebagai pengendali Liga Malaysia.

“Setiap keputusan dibuat jelas dirujuk kepada perkara-perkara dalam peraturan pertandingan, Manual Liga Malaysia 2021.

“Saya tidak fikir MFL berat sebelah dan seperti saya katakan tadi, mana-mana organisasi akan merujuk kepada perlembagaan mereka dan dalam kes ini sudah pasti MFL akan menggunakan Manual Liga Malaysia bagi menilai setiap kes yang berlaku.

“Sejujurnya saya belum pernah berdepan situasi seperti ini tetapi secara peribadi kebiasaannya keputusan pengadil di dalam perlawanan adalah muktamad dan perkara bantahan adalah satu perkara yang berlainan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, MFL mengesahkan pihaknya telah menerima surat bantahan daripada Negeri Sembilan FC bertarikh 30 Ogos lalu.

Negeri Sembilan FC meminta MFL dengan menggunakan Artikel 2.1.3, Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2021 untuk menilai kesalahan yang dilakukan ketika Negeri Sembilan FC tewas 1-2 kepada Kelantan FC dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 27 Ogos lalu.

Dalam perlawanan itu, Kelantan FC dilaporkan telah melakukan pertukaran pemain kelima dengan menggunakan peluang keempat pada minit ke-92, tambahan masa separuh masa kedua. – MalaysiaGazette