ACP Mohammad Noor Yusof Ali menunjukkan barang rampasan hasil serbuan ke atas seorang lelaki yang terlibat dalam sindiket rokok seludup di Kuantan.

KUANTAN – Polis memberkas seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun yang menjadi dalang aktiviti penjualan rokok tanpa cukai di Gambang Jaya, Kuantan dalam kejadian 11.30 pagi pada 27 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, aktiviti berjaya ditumpaskan dalam satu serbuan oleh anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

“Siasatan lanjut juga membawa pasukan polis ke sebuah rumah di Gambang Makmur dan pemeriksaan lanjut polis menjumpai 124 kotak rokok disyaki rokok seludup yang dianggarkan berjumlah RM300,000.

“Hasil pemeriksaan menjumpai lima telefon bimbit pelbagai jenama, komputer riba, satu pasport Malaysia dan satu beg galas berisi wang tunai RM24,000.

“Siasatan mendapati suspek disyaki bertindak sebagai penjaga stor dan akan mengeluarkan stok bekalan rokok itu kepada ejen untuk dijual,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Jelas Mohammad Noor, kesemua bekalan rokok yang dirampas itu disyaki cuba menembusi pasaran di sekitar daerah Kuantan.

Dalam pada itu pihaknya kini giat mengesan dalang utama sindiket penyeludupan rokok di daerah ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 mankala suspek ditahan reman sehingga 10 September 2021.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih tinggi nilai atau 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette