Wan Junaidi Tuanku Jaafar

PUTRAJAYA – Keabsahah pelantikan Perdana Menteri (PM) kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu dipertikaikan lagi walaupun menerusi usul undi percaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan, peruntukan Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan kuasa melantik PM adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Tiada keperluan untuk mengemukakan usul undi percaya terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen bagi menentukan keabsahan pelantikannya.

“Keabsahan pelantikan Ismail Sabri adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong dan tidak perlu dipertikaikan lagi,” katanya pada sidang media di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

“Perkara ini (usul undi percaya) tidak sesuai dilakukan kerana PM baharu sahaja mengambilalih jawatan berkenaan,” katanya.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Ismail Sabri membentangkan segera usul undi percaya kepadanya sebagai PM di Dewan Rakyat bagi menunjukkan beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen seperti ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, tiada sebarang alasan bagi penundaan sidang Parlimen dari 6 September kepada 13 September, jika usul berkenaan tidak tersenarai dalam agenda atau kertas aturan persidangan Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette