Hasni Mohammad

ISKANDAR PUTERI – Satu jawatankuasa khas melibatkan ketua dan wakil-wakil rakyat pembangkang bagi membincangkan dasar sosial dan ekonomi pasca Covid-19 akan ditubuhkan kerajaan negeri Johor.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, pembentukkan jawatankuasa  itu selari dengan hasrat kerajaan negeri yang komited untuk mendengar pandangan kesemua 56 wakil rakyat termasuk 27 pembangkang daripada Pakatan Harapan ( PH).

“Kerajaan negeri bersedia melaksanakan pembaharuan mengikut kesesuaian dan keperluan di mana lebih banyak jawatankuasa khas di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) akan ditubuhkan pada masa hadapan.

“Sebelum ini, beberapa sesi taklimat bersama wakil-wakil rakyat di Johor telah diadakan. Taklimat-taklimat itu bertujuan untuk berkongsi maklumat dan memberikan gambaran semasa berkenaan situasi semasa pentadbiran kerajaan negeri,” katanya pada sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri ( DUN) Johor ke-14 di sini hari ini.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut (BN) juga  berharap kerajaan negeri akan dilibatkan secara langsung dalam inisiatif pembukaan laluan darat yang melibatkan Tambak Johor dan Link Kedua.

“Wakil kerajaan negeri perlu dimasukkan dalam jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan, antara lain akan memperbanyakkan perbincangan komprehensif mengenai pembukaan sempadan Johor-Singapura berdasarkan perkembangan terbaharu Covid-19.

“Kerajaan negeri sedar pembukaan semula Johor-Singapura merupakan komponen asas dalam usaha pemulihan ekonomi negeri. Ia sudah tentu akan merancakkan kembali sektor peruncitan dan pelancongan selain bakal menghidupkan semula aktiviti ekonomi di Johor Bahru,” katanya.

Pembukaan sempadan Johor-Singapura juga, kata Hasni bakal mengembalikan kepesatan sektor hartanah di negeri itu.-MalaysiaGazette