Covid-19 cases infection
Jumlah kes harian positif Covid-19 mengikut negeri. sumber sah dari KKM

PUTRAJAYA – Kes positif harian penularan Covid-19 hari ini menunjukkan peningkatan semula sebanyak 1,186 kepada 19,733 dalam tempoh 24 jam lalu.

Pertambahan ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 adalah 1,900,467 kes, kata  Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Twitter.

Untuk empat hari berturut-turut Sarawak terus berada di tangga teratas carta apabila merekodkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 3,100 kes hari ini walaupun susut  sebanyak 100 kes berbanding 3,200 kes semalam.

Selangor berada di tempat kedua dengan merekodkan 2,989 kes positif hari ini  berbanding 2,407 kes semalam.

Dari segi kumulatif kes, Selangor masih tertinggi, jauh meninggalkan negeri lain dengan jumlah 630,575 setakat ini.

Sabah pula merekodkan 2,067 kes positif harian berbanding 2,107 kes semalam disusuli  Johor dengan 1,867 kes hari ini, menurun berbanding 2,174 semalam.

Johor merekodkan kes kumulatif berjumlah 155,500 kes setakat ini

Situasi penularan harian di Kuala Lumpur hari ini susut kepada 537 daripada 631 kes semalam manakala Putrajaya pula merekodkan sebanyak 29 kes hari ini iaitu kenaikan sebanyak tujuh kes.

Negeri Utara Semenanjung iaitu Kedah merekodkan 1,568 kes,  naik daripada 1,487 kes yang dicatatkan semalam.

Pulau Pinang pula menyaksikan kenaikan 700 kes kepada 2,474 berbanding 1,776 kes semalam, sekali gus melepasi paras 100,000 iaitu sebanyak 100,906 kes setakat ini.

Kelantan, Terengganu dan Pahang masing-masing merekodkan 1,471 kes, 904 kes dan 700 kes manakala di Negeri Sembilan sebanyak 256 kes positif dikesan hari ini berbanding 229 kes yang direkodkan semalam.

Kecuali Selangor, negeri-negeri lain pula merekodkan kumulatif kes positif di bawah paras 200,000 manakala Perlis satu-satunya negeri yang merekodkan kumulatif kes positif sebanyak 2,466 kes.- MalaysiaGazette