Gambar hiasan.

GOMBAK – Polis berjaya menahan empat lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah tersebut.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kesemua suspek itu ditahan polis bertindak atas maklumat risikan yang dijalankan.

Katanya, pada 30 Ogos lalu lebih kurang jam 1 tengah hari, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Selangor telah melancarkan satu serbuan di kawasan tempat letak kereta, Jalan TIB 1A, Taman Bolton, Taman Sri Gombak, Batu Caves.

“Polis berjaya menangkap empat lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket pengedaran dadah secara aktif di kawasan itu.

“Dalam serbuan tersebut, polis telah berjaya membuat rampasan sebuah beg kanvas berwarna biru dalam pemeriksaan di dalam beg itu mengandungi tujuh bungkusan teh Cina berwarna hijau berisi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Tambah beliuau, anggaran berat syabu yang dirampas secara  keseluruhannya 7.14 kilogram yang bernilai RM245,000.

“Kadar penggunaan dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 14, 000 orang pengguna dalam masa sehari.

“Ujian saringan awal mendapati tiga daripada suspek berkenaan dikesan positif dadah dan dua daripadanya mempunyai rekod lampau kesalahan berkaitan kes jenayah dan dadah,” ujar beliau.

Kesemua suspek kini direman sembilan hari untuk membantu siasatan lanjut polis  di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan mereka.- MalaysiaGazette