Mohd Aswaad (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Lim Guan Eng yang didakwa melanggar peraturan kuarantin kendiri.

GEORGE TOWN – Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang didakwa telah melanggar peraturan kuarantin kendiri.

Jurucakap Pemuda Gerakan negeri, Mohd Aswaad Jaafar berkata, Ahli Parlimen Bagan itu sepatutnya menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari iaitu sehingga 10 September namun didapati menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (DUNPP) baru-baru ini.

“Peguam Guan Eng memberi alasan anak guamnya itu tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana perlu menjalani kuarantin kendiri tetapi mengapa beliau boleh hadir sidang DUNPP pada 2 September lalu.

Mohd Aswaad.

“Kita dapati kenyataan Guan Eng bercanggah berhubung gagal menghadiri diri ke mahkamah dengan alasan kuarantin, sehubungan itu kita buat laporan polis untuk membolehkan pihak berkuasa menyiasat dakwaan dalam kenyataan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan luar Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, hari ini.

Tambah Aswad, tindakan Guan Eng juga dilihat seolah-olah menghina mahkamah.

Terdahulu, perbicaraan kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang ditangguhkan kepada 22 September ini, selepas beliau diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Peguam Gobind Singh Deo memaklumkan kepada mahkamah, anak guamnya yang juga Setiausaha Agung DAP diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September ini. – MalaysiaGazette