Ng Chok Sin MCA kerajaan Selangor
Ng Chok Sin

KUALA LUMPUR – Semua Exco Negeri Selangor digesa menyuarakan bantahan terhadap penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri walaupun mereka harus akur dengan pendirian parti masing-masing.

Namun, pada masa sama mereka tidak harus melupakan tanggungjawab mereka kepada rakyat, kata Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor, Datuk Ng Chok Sin

Terutamanya kepada parti DAP yang mempunyai tiga wakil di dalam Exco Negeri Selangor iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Kim; ADUN Kota Kemuning, Ganibatirau dan ADUN Bandar Kinrara, Ng Sze Han.

Chok Sin berkata, mereka harus menyuarakan bantahan terhadap keputusan kerajaan negeri Selangor bagi membuktikan DAP mampu memainkan peranan semak dan imbang di dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor.

Tambahan lagi, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Idris Shah juga telah menafikan sebarang hubungan dengan mana-mana pemaju yang terlibat dalam projek pembangunan tersebut.

Oleh itu, Kerajaan PH Selangor tidak ada alasan lagi untuk menyembunyikan maklumat mengenai pemaju projek.

Beliau turut menggesa Kerajaan PH Selangor supaya mengubah cara pemikiran mereka dengan tidak mengkomersialkan kawasan hutan paya gambut yang merupakan habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna.

Ini kerana mana-mana gangguan di dalam alam sekitar sudah tentu membawa kesan yang lebih besar pada masa depan.

Malah, sebuah petisyen yang dilancarkan baru-baru ini untuk menyelamatkan HSKLU telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 100,000 tandatangan.

Oleh itu, kerajaan PH Selangor wajar memberi perhatian kepada sentimen rakyat dan menghentikan pelan pembangunan bagi kawasan tersebut dengan serta-merta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast