Lipan hidup yang ditemui pada seorang lelaki Indonesia di Terminal Stulang Laut.

JOHOR BAHRU – Seorang penumpang warganegara Indonesia lelaki yabg cuba membawa bungkusan berisi kira-kira 1,000 ekor lipan dari Batam, Indonesia ditahan di Terminal Feri Stulang Laut, di sini.

Pemahanan itu dibuat selepas pegawai penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menyedari lelaki berkeaan berkelakuan pelik semasa melakukan pemeriksaan di pintu keluar negara di terminal feri berkenaan.

Maqis Negeri Johor dalam satu kenyataannya hari ni berkata, hasil pemeriksaan  dilakukan membawa pememuan lipan hidup yang diletakkan dalam bungkusan dibawa lelaki berusia 30-an terbabit.

“Peguakuasa Maqis, telah menemukan lebih kurang 1,000 ekor lipan hidup yang dianggarkan bernilai RM1,750.00 yang cuba dibawa masuk tanpa Permit Import Maqis oleh seorang penumpang feri dari Batam, Indonesia.

“Kesemua lipan hidup yang dibawa masuk itu untuk dijadikan makanan untuk ikan,” katanya.

Kesemua barang dagangan tersebut telah dirampas untuk tindakan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan di bawah akta ini.

Jika disabitkan, kesalahan  boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Manakala bagi kesalahan ke dua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM150,000.00 atau di penjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya. –  MalaysiaGazette