Husam Musa

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah mengarahkan supaya Ahli Dewan Negara, Datuk Husam Musa dibayar ganti rugi dan kos sebanyak RM206,000  kes saman fitnah terhadapnya.

Sebelum ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Dr Wan Zawawi Wan Ismail pada 2017 membuat kenyataan berbaur fitnah terhadap Husam kononnya telah menerima dana daripada DAP untuk menjatuhkan kerajaan Pas Kelantan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Roslan Abu Bakar telah membuat ketetapan supaya Wan Zawawi membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 dan bayaran kos RM6,000.

Perkara tersebut dimaklumkan peguam mewakili Husam, Hisham Fauzi kepada media hari ini.

Kata Hisham, mahkamah juga berpandangan ganti rugi yang ditetap dalam keputusan sebelum ini adalah rendah dan tidak setimpal dengan kesan fitnah itu kepada anak guamnya.

Sebelum ini, media melaporkan Husam menang kes saman fitnah terhadap Wan Zawawi di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, pada 26 Jun 2019 dengan membayar ganti rugi kos perbicaraan sebanyak RM50,000.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan Husam selaku plaintif berjaya membuktikan kesnya dan memenuhi kriteria kes fitnah.

Hakim memerintahkan Wan Zawawi membayar ganti rugi dengan jumlah yang akan diputuskan mahkamah nanti.

“Defendan juga perlu menarik balik artikel berkenaan, menyiarkan permohonan maaf di akhbar nasional selama sehari dan membayar kos perbicaraan berjumlah RM50,000,” katanya.

Wan Zawawi di dalam status Facebooknya menuduh Amanah Kelantan menerima duit daripada seorang tauke judi dari DAP untuk digunakan bagi menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan dengan gambar Husam bersama tulisan tersebut.

Dalam pada itu, Husam dalam laman sosial Facebook beliau turut melahirkan syukur dengan keputusan yang akhirnya mendapat pengadilan buat dirinya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast