Anak kepada Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Nurul Hidayah Ahmad Zahid (kanan) hadir pada perbicaraan kes berhubung pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI,08 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberikan amaran kepada mana-mana pihak untuk tidak sesekali membuat sebarang kenyataan atau ulasan berkaitan kes yang sedang berjalan dalam media sosial.

Ini bagi mengelakkan sebarang subjudis terhadap kes tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah membuat ketetapan tegas itu ketika kes rasuah pecah amanah berkaitan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi yang sedang dihadapi oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Komen dan kenyataan tidak sepatutnya diberikan ketika kes sedang berjalan. Mahkamah terpaksa memberikan amaran kerana ini adalah subjudis,” katanya ketika permulaan kes hujah akhir sebentar tadi.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Toran memberitahu mahkamah anak perempuan tertuduh, Datuk Nurulhidayah Zahid bertindak memberikan komen berkaitan kes sedang berjalan ketika ini.

Kata beliau sepatutnya Nurulhidayah dan pihak lain-lain juga tidak sepatutnya memberikan sebarang ulasan ketika kes masih sedang berjalan.

Nurulhidayah membuat kenyataan itu dalam laman sosial Instagramnya.

Peguam bela, Hamidi Mohd Noh Noh kemudian bangkit memohon maaf dan berjanji perkara seumpama tidak berlaku lagi selain mendedahkan kenyataan itu akan dipadamkan.

Selang beberapa lama, kenyataan anak Ahmad Zahid itu telah dipadamkan selain daripada permohonan maaf oleh Nurulhidayah telah dimuat naik olehnya.

Tulis Nurulhidayah, beliau memohon maaf kepada mahkamah terhadap posting yang telah dibuatnya sebelum ini ketika prosiding masih lagi berjalan.

“Ini tidak akan berlaku lagi. Saya ucap yang terbaik kepada pasukan pendakwaan dan pembelaan,” tulisnya dalam Bahasa Inggeris.

Nurulhidayah memohon maaf terhadap kenyataan berhubung kes rasuah yang sedang berjalan melibatkan bapanya ketika ini.

Kemudian tulis lagi Nuruhidayah dalam satu lagi hantaran adalah sesuatu yang normal seseorang yang belum didapati bersalah sekalipun akan dianggap bersalah terlebih dahulu.

Public perception towards pendakwaan lebih penting daripada public perception towards orang kena tuduh. Tu sebab orang yang belum didapati bersalah pun dianggap sudah bersalah.

“Itu normal,” tulisnya.

Selain itu, Nurulhidayah juga ada memuat naik gambar dirinya dan bapanya yang juga Presiden UMNO.

Prosiding akan bersambung.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berhadapan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. -MalaysiaGazette