Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mempertimbangkan kebenaran terhadap pengoperasian semula spa dan pusat kejahteraan keluarga di Selangor dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, langkah itu adalah bagi mengelak lebih ramai pengusaha yang terlibat dalam perniagaan tersebut gulung tikar.

“Difahamkan industri Spa dan Wellness Centre menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 30,000 pekerja. Jika perkara ini tidak diselesaikan oleh kerajaan secara tuntas dan inklusif, akan terdapat lebih banyak lagi pengusaha yang terpaksa menutup perniagaan mereka akibat gulung tikar.

“Kerajaan harus melihat kepentingan untuk membenarkan operasi “Wellness Centre” dalam tempoh PPN ini kerana sektor ini merupakan salah satu sektor keperluan kepada masyarakat untuk mendapatkan rawatan terapi bagi kesihatan mereka. Sektor ini juga penting bagi kaum ibu yang memerlukan terapi ketika dan selepas bersalin,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut George lagi, kewajaran sektor itu untuk dibuka semula adalah berikutan tiada lagi kluster spa direkodkan ketika ini.

“Kenyataan daripada kerajaan yang mengatakan spa sebagai perniagaan berisiko tinggi akan membantutkan strategi pemasaran industri spa pada masa akan datang.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memainkan peranan sepatutnya bagi memastikan pemilik lesen mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Sebagai pengendali yang sah mereka menerima sijil penilaian daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebagai salah satu syarat untuk beroperasi,” ujarya.

George menambah, pembukaan sektor berkenaan membolehkan masyarakat mendapatkan rawatan terapi untuk kesihatan selepas terkesan rohani dan jasmani akibat pandemik. – MalaysiaGazette