ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Polis Sentul sebentar tadi mengesahkan menerima laporan polis oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke atas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, laporan polis oleh Ahli Parlimen BN Pekan itu telah dibuat pada tengahari tadi di Balai Polis di IPD Sentul.

“Ya saya  mengesahkan tentang penerimaan laporan polis yang dibuat oleh Najib Razak terhadap LHDN hari ini.

“Bagaimanapun report itu masih dalam penelitian untuk mendapatkan beberapa dokumen penting daripada pengadu (Najib Razak) bagi menentukan klasifikasi untuk memulakan siasatan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Bagaimanapun katanya, laporan polis itu akan dirujuk kepada Bukit Aman terlebih dahulu untuk arahan tindakan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN:

Najib dalam laman Facebooknya menyatakan bahawa laporan polis menyusul berikutan dakwaan terdapat pegawai tinggi LHDN serta ahli politik tertentu dipercayai dengan jelas telah melanggar Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu berkaitan cukai tambahan yang dikenakan terhadapnya.

Beliau menjelaskan bahawa laporan polis yang dibuat itu berkaitan kesalahan melanggar Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).- MalaysiaGazette