Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (tengah) semasa menghadiri sesi Serahan Sumbangan Menteri Besar Johor kepada Jabatan Kesihatan Negeri di Hospital Permai, di Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Seramai 100,000 hingga 150,000 rakyat Malaysia yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 di Johor menerima suntikan di Singapura.

Bagaimanapun Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, status mereka yang sudah divaksin itu tidak dikemas kini dalam aplikasi MySejahtera.

“Jumlah ini besar dan mereka secara tidak langsung terlibat dalam angka rakyat dewasa yang perlu divaksin,” katanya selepas majlis Serahan Sumbangan Menteri Besar Johor kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKNJ) di Hospital Permai, di sini, hari ini.

Tambah beliau, kerajaan negeri tidak bimbang dengan perkembangan berkenaan dan yakin ia akan diuruskan agensi kerajaan pusat terbabit dalam masa terdekat.

Menurut Hasni, jumlah penduduk Johor yang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 adalah lebih besar daripada data yang diperoleh ekoran beberapa faktor yang mempengaruhinya.

“Antara faktornya kerana rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan individu yang mendapatkan suntikan vaksin di klinik swasta,” katanya sambil menambah ia menyebabkan perbezaan data yang diperoleh dengan jumlah sebenar individu yang telah disuntik vaksin.

Tambah beliau, Johor mempunyai bekalan vaksin yang banyak namun kadar vaksinasi masih rendah dan kini kerajaan negeri memberi tumpuan untuk meningkatkan kualiti dan tahap perkhidmatan kesihatan awam di negeri itu dalam memastikan pesakit Covid-19 mendapat rawatan sewajarnya.

Sementara itu, pada program berkenaan kerajaan negeri dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor menyumbang pelbagai peralatan kesihatan berjumlah RM300,000 untuk diagihkan kepada lima hospital daerah bukan pakar di Johor.

Ia melibatkan Hospital Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Mersing dan Tangkak. – MalaysiaGazette