Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Isu penarikan balik kes-kes rasuah yang sedang dibicarakan di mahkamah terutamanya yang melibatkan individu yang dikaitkan dengan politik adalah suatu serius dan memerlukan penjelasan tuntas daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jika benar alasannya kerana terdapat elemen-kekurangan dalam siasatan serta keputusan pendakwaan yang tidak berasaskan pertimbangan yang menyeluruh, maka ia akan dilihat dan dipersepsikan rakyat semacam SPRM tidak bersifat profesional dan wujud kepentingan politik dalam pendakwaan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi bersependapat dengan saranan dan pandangan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM, Tan Sri Abu Zahar Ujang agar SPRM tidak sesekali menjadi organisasi yang mudah dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

“Seharusnya apa yang berlaku di zaman Kerajaan PH tidak berulang apabila beberapa kes yang melibatkan kepimpinan tertinggi parti politik sewenangnya ditarik balik ketika perbicaraan sedang berlangsung. Manakala musuh-musuh politik pula begitu mudah didakwa.

“SPRM mesti dilihat bebas, profesional dan melangkaui sebarang pengaruh kuasa politik tidak kira siapapun yang menjadi pemerintah. Ini juga penting untuk mengelakkan persepsi rakyat bahawa tindakan SPRM dikaitkan dengan pepatah “sekali air bah, sekali pantai berubah”,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, kata Asyraf, SPRM mesti tampil memperjelaskan kepada rakyat secara tuntas apa jua isu berkaitan penarikan balik kes-kes rasuah terutamanya yang melibatkan tokoh-tokoh politik agar tidak sesekali merencatkan segala usaha untuk membenteras dan memerangi gejala rasuah yang merupakan najis yang mampu menjadi barah yang menghancurkan negara.- MalaysiaGazette