KUALA LUMPUR – Tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat laporan polis terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sangat dialu-alukan.
Malah sungguh mengejutkan apabila mengetahui maklumat pegawai LHDN menerima tekanan dari ahli politik mahu dirinya dikenakan tindakan undang-undang termasuk penalti cukai terhadap bekas pemimpin nombor satu negara itu.
Itu kata Presiden Makkal Sakthi, Datuk Seri RS Thanenthiran namun pada masa sama beliau melahirkan raga kagum dengan cara Najib mengendalikan isu tersebut.
“Sebanyak tiga kali kes ini telah disiasat namun tiada sebarang salah laku yang telah ditemui tetapi LHDN terus bertindak menghukum ‘Bossku’. Memang melampau sebenarnya.
“Tetapi Datuk Seri Najib tidak melompat sebaliknya dengan tenang cuba menyatakan kebenaran dari awal lagi. Kini beliau bertindak membuat laporan polis selepas mendapat maklumat ada tekanan politik, dendam pemimpin sehingga mencemarkan integriti LHDN.
“Datuk Seri Najib hanya mendedahkan pelanggaran beberapa sesyen kerana jika ini berlaku kepadanya bagaimana pula rakyat biasa seperti kita yang menjadi mangsa seperti ini menggunakan badan kerajaan untuk menekan atau memeras?
”Cukup-cukuplah cuba ‘tekan’ dan malukan beliau dengan pelbagai jenis skandal dan fitnah yang sehingga kini tidak boleh langsung dibuktikan.
“Kita tunggu supaya perkara ini disiasat dengan penuh telus, kebenaran akan terdedah juga akhirnya. Yang dianiayai ini akhirnya akan dapat pengadilan, kita tunggu dan lihat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Semalam Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan mendakwa mempunyai maklumat dan bukti berlaku pelanggaran kuasa mengikut Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu.
Najib itu turut mendakwa menerima maklumat mengenai denda cukai tambahan yang dikenakan terhadap dirinya dengan ada pegawai tertinggi LHDN yang mengarahkan supaya penalti cukai diteruskan terhadapnya atas arahan ahli politik tertentu.
Kata Najib beliau diarahkan membayar denda cukai tambahan membabitkan wang berjumlah RM2.6 bilion yang dikembalikan kepada penghantar, empat bulan selepas diterima. -MalaysiaGazette
















