Antara wanita warga asing yang ditahan bersama pelanggan menerusi serbuan yang dijalankan di sebuah hotel di Jalan Pudu Ulu di sini, semalam. Foto ihsan PDRM.

KUALA LUMPUR – Polis menahan lima wanita warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran di sebuah hotel di Jalan Pudu Ulu di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, serbuan dijalankan dua pegawai dan 14 anggota dari Bahagian D7 JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur sekitar pukul 4.45 petang.

“Polis berjaya menangkap lima wanita bukan warganegara berusia di antara 25 hingga 40 tahun serta tiga pelanggan lelaki warga tempatan berusia di antara 20 hingga 36 tahun.

“Turut dirampas adalah 13 keping kondom, lima helai tuala, tiga botol minyak pelincir, kad akses serta wang tunai berjumlah RM1,070,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua tangkapan akan direman bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, Saiful Annuar turut memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan pelacuran kerana tindakan tegas akan dikenakan terhadap penganjur, pemilik premis, pekerja atau pelanggan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menyalurkannya kepada pihaknya dengan cara menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette