Antara balang biskut dan kek berasaskan kanabis yang dirampas menerusi serbuan dijalankan oleh JSJN Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Pasangan kekasih yang merupakan dalang dalam kegiatan pemprosesan serta pengedaran kek dan biskut berasaskan kanabis dicekup polis dalam dua serbuan berasingan pada Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, dua serbuan berasingan dilancarkan menerusi Op Storm kira-kira pukul 3.50 petang selepas menjalankan risikan selama sebulan.

Menurutnya, dalam serbuan pertama, polis menahan sebuah kereta jenis Honda City di hadapan lobi sebuah residensi di Jalan Pudu, di sini.

“Seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun berjaya ditahan bersama dua buah kotak dan satu beg kertas yang mengandungi 25 balang biskut berasaskan kanabis dengan anggaran berat 7,375 gram dan 53 biji kek berasaskan kanabis seberat 5,320 gram.

“Ekoran dari itu, serbuan kedua pula dijalankan di sebuah residensi di kawasan PJ Midtown, Jalan Kemajuan, Petaling Jaya yang membawa kepada penangkapan seorang wanita tempatan berusia 28 tahun,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Antara balang biskut dan kek berasaskan kanabis yang dirampas menerusi serbuan dijalankan oleh JSJN Kuala Lumpur pada Selasa.

Mengulas lanjut, Sahar berkata, dalam serbuan yang dijalankan, polis telah merampas 131 balang biskut dan 41 biji kek berasaskan kanabis, lapan ketulan mampat kanabis, empat periuk berisi cecair kanabis, dua ketuhar elektrik, satu mesin pengadun dan beberapa peralatan untuk membuat kek dan biskut.

Jelasnya, hasil kedua-dua serbuan yang dijalankan, sebanyak 156 balang biskut berasaskan kanabis dengan anggaran berat 43,275 gram berjaya dirampas, 94 kek (9,625 gram), lapan ketulan mampat kanabis (7,820 gram) dan cecair kanabis (31,000 gram).

“Siasatan awal mendapati bahawa suspek pertama dan kedua merupakan pasangan kekasih yang menjadikan kediaman mereka sebagai tempat untuk memproses kek dan biskut berasaskan dadah jenis kanabis.

“Premis tersebut telah disewa selama lapan bulan oleh suspek lelaki dengan bayaran sewa RM3,000 sebulan,” ujarnya.

Tambah Sahar lagi, modus operandi yang digunakan adalah dengan mendapatkan bekalan dadah dan memprosesnya sendiri sebelum dijadikan kek atau biskut.

Katanya, harga di pasaran bagi sebalang biskut tersebut ialah RM100 manakala sebiji kek seberat 100 gram dijual pada harga RM50.

“Pelanggan sindiket ini terdiri daripada kenalan rapat suspek lelaki di dalam media sosial iaitu Instagram.

“Dipercayai biskut dan kek ini mempunyai impak negatif jika dimakan oleh golongan kanak-kanak.

“Oleh itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau memiliki apa jua makanan yang mempunyai kandungan kanabis atau dadah-dadah lain yang merbahaya terutama kepada kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, menurut Sahar, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis kanabis manakala suspek wanita negatif dadah.

Semakan lanjut juga mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Selain rampasan dadah, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM11,790 dan sebuah kereta jenis BMW X3 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM491,089.

“Dengan tangkapan ini, pihak polis berjaya menumpaskan kegiatan pemprosesan dan pengedaran kek dan biskut berasaskan dadah jenis kanabis yang didalangi oleh warga tempatan. Mereka ini dikesan aktif selama lima bulan di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

Sahar berkata, suspek lelaki kini direman selama enam hari bermula semalam sehingga 13 September manakala kekasihnya direman selama tujuh hari sehingga 14 September.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette