Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

GEORGE TOWN – Polis akan memanggil Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bagi membantu siasatan terhadap dakwaan ingkar arahan kuarantin kendiri dengan menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2 September lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih itu akan dipanggil bagi merakamkan keterangan sebaik selesai menjalani kuarantin kendiri pada 10 September nanti.

Mohd Shuhaily.

“Setakat ini, kita sudah terima tiga laporan polis berhubung isu berkenaan dan kita sudah merekodkan keterangan tiga individu iaitu mereka yang tampil membuat laporan.

“Selain itu, keterangan daripada pihak Setiausaha DUN dan Kementerian Kesihatan akan dirakam hari ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, kes tersebut diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP).

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/2021/09/08/gerakan-lapor-polis-guan-eng-langgar-peraturan-kuarantin/

 

 

Sebelum itu, Jurucakap Pemuda Gerakan negeri, Aswad jaafar berkata, Ahli Parlimen Bagan itu sepatutnya menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari iaitu sehingga 10 September namun didapati menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (DUNPP) baru-baru ini.

“Peguam Guan Eng memberi alasan anak guamnya itu tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana perlu menjalani kuarantin kendiri tetapi mengapa beliau boleh hadir sidang DUNPP pada 2 September lalu.

“Kita dapati kenyataan Guan Eng bercanggah berhubung gagal menghadiri diri ke mahkamah dengan alasan kuarantin, sehubungan itu kita buat laporan polis untuk membolehkan mereka menyiasat dakwaan dalam kenyataan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.