Tiga nelayan yang hilang ditemukan selamat pada malam semalam.

KUANTAN – Tiga nelayan yang hilang petang semalam ditemui kira-kira 8.5 batu nautika dari muara Kuala Pahang oleh nelayan tempatan pada malam semalam.

Bot yang dinaiki Nordin bin Aziz, 63; Norazian Nordin, 38, dan Zaharudin Ismail, 47, dilaporkan mengalami kerosakan dan hanyut dibawa arus serta tiada liputan rangkaian telefon untuk melaporkan kejadian bagi mendapatkan bantuan.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, sebaik menerima laporan daripada Maritime Rescue Sub – Centre (MRSC) Kuantan, bot ronda Maritim yang sedang beroperasi ditugaskan untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT).

“Pengadu, isteri mangsa pemilik bot fiber tersebut berkata, suaminya Nordin pulang ke Jeti Nelayan Pantai Sepat sekitar jam 12.00 tengahari pada hari yang sama, namun tidak kelihatan sehingga malam.

“Kebiasaannya suami pengadu keluar memancing di sekitar perairan Kuala Kuantan pada jarak kira-kira 8.5 batu nautika dari Muara Kuala Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, maklumat berkenaan kejadian ini turut disalurkan kepada komuniti nelayan tempatan dan beberapa rakan mangsa juga telah membuat pencarian awal.

“Bot fiber bersama mangsa telah dijumpai dalam keadaan selamat oleh bot nelayan tempatan di sekitar lokasi yang dilaporkan.

“Bot tersebut ditunda dan tiba di Jeti Nelayan Tanjung Lumpur pada jam 9.00 malam, semalam dan Operasi CARILAMAT ditamatkan pada jam 10.00 malam,” katanya menerusi kenyataan media.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan dan kegiatan jenayah di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.  -MalaysiaGazette