Wanita yang dipercayai ketua ajaran sesat PMYT ditahan atas bagi membantu siasatan polis pada 4 September lalu.

KUALA LUMPUR – Ketua ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang dikenali sebagai Sittah Annur telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Basri Sagoni berkata, suspek berusia 39 tahun itu telah dibebaskan selepas remannya berakhir dan keterangannya diambil.

Wanita itu ditahan pada 4 September lalu oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields di kediamannya di Shah Alam semasa melakukan serbuan.

“Kita telah reman wanita itu sejak 4 September lalu untuk membantu siasatan polis dan selesai mengambil keterangan daripadanya dan kita tidak sambung reman ke atas suspek sebaliknya membebaskannya dengan jaminan polis.

“Ini kerana banyak lagi arahan timbalan pendakwa raya diterima untuk melengkapkan kertas siasatan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette pagi ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Basri juga menjelaskan pihaknya masih dalam proses mengesan beberapa individu-individu lain dalam kes terbabit untuk dirakam keterangan.

“Setakat ini tiada sebarang tangkapan baharu dalam kes berkenaan dan kita hanya akan memanggil untuk mengambil keterangan.

“Bagaimanapun kita masih dalam proses mengesan individu lain dan tiada individu terbaharu yang muncul atau dipanggil untuk diambil keterangan dalam kes ini,” ujarnya.

Suspek, seorang peniaga yang sudah berumah tangga kini sedang disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan ke atas wanita berkenaan menjurus kepada penularan beberapa rakaman video mengandungi kenyataan yang menyentuh Aqidah serta ajaran Islam melalui akaun YouTube Cahaya Islam dan S’ttah An Nur PMYT serta di pelbagai platform media sosial sejak beberapa hari yang lalu.

Di antara kandungan rakaman video yang tular adalah pengakuan wanita tersebut mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah SWT, malaikat dan Nabi Muhammad SAW. – MalaysiaGazette