Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan. Foto AFFAN FAUZI, 30 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai mengambil keterangan pemilik akaun Facebook Masitah Ab Jala yang dikenali Sittah Annur yang dikaitkan dengan kumpulan ajaran sesat ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ (PMYT).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan ke atas wanita berkenaan menjurus kepada penularan beberapa rakaman video yang dipercayai menyentuh aqidah dan ajaran Islam melalui akaun YouTube yang menggunakan nama Cahaya Islam dan S’ttah An Nur PMYT selain di pelbagai platform media sosial sejak beberapa hari lalu.

“Di antara kandungan rakaman video yang tular adalah pengakuan wanita tersebut mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah SWT, Malaikat dan Nabi Muhammad SAW.

“Beliau turut mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan untuk umat yang lain dan sesiapa yang menyakiti atau menghalang dirinya dari menyampaikan ajaran boleh dicabut nyawa oleh Allah SWT,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BACA ARTIKEL BERKAITAN:Polis kenal pasti individu terlibat ajaran sesat PMYT – KPN 

 Ajaran sesat PMYT: PDRM akan ambil tindakan tegas – Hamzah 

Pihak berkuasa agama tidak berkompromi tangani ajaran sesat – Idris

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan (Kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama)

Selaun itu, menurut Abdul Jalil, les juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dan lain-lain).

Sementara itu, beliau memberitahu, polis juga sedang mengesan serta mengenal pasti individu lain yang terlibat dalam kes tersebut. – MalaysiaGazette