Foto Facebook Perak FC.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Perak FC, Shahril Nizam Khalil menyifatkan aksi terakhir Liga Super menentang Sabah FC cukup penting bagi meraih slot ke TM Piala Malaysia untuk sekurang-kurangnya mengubati kekecewaan selepas tersingkir ke Liga Premier 2022.

Piala Malaysia dianggap sebagai peluang terakhir untuk Perak menghadiahkan sesuatu kepada penyokong selepas bergelut dengan prestasi dalam saingan Liga Super pada musim ini.

Justeru, Shahril mahu barisan pemain tetap fokus untuk memastikan kemenangan berharga dapat diraih esok memandangkan UiTM FC juga masih berpeluang untuk layak sekiranya mereka menang ke atas Sri Pahang FC.

Apa yang pasti, beliau enggan anak buah memandang rendah terhadap kemampuan Sabah meskipun mereka pernah tewas besar 6-0 kepada Selangor pada minggu lalu, selain berharap pasukan mampu merasai kemenangan sebagai penutup Liga Super selepas tewas dalam enam perlawanan terakhir sebelum ini.

“Secara keseluruhannya, pemain-pemain saya masih menunjukkan kesungguhan dalam latihan dan cukup positif kerana kita dah tahu kedudukan pasukan macam mana, jadi sekurang-kurangnya satu mata sudah cukup untuk layak ke Piala Malaysia.

“Walaupun kita dah jatuh ke Liga Premier, tetapi perlawanan terakhir ini memang penting dan kita pun dah lama tak rasa kemenangan, jadi harapnya kita dapat raih tiga mata sebagai penutup liga musim ini.

“Saya ada melakukan sedikit rombakan di mana Nazmi Ahmad digantung sebab tiga kad kuning, Rafiuddin Rodin pula ada sedikit kecederaan, kena tengok macam mana keadaan dia selepas ini, dan Azri Ghani pula sudah kembali daripada kem latihan Bawah 20 tahun, jadi kami akan pantau dia juga untuk aksi esok,” jelasnya.

Satu lagi perlawanan yang akan menjadi tumpuan pada malam esok membabitkan pertembungan Penang FC dan Terengganu FC dalam misi merebut gelaran naib juara Liga Super 2021.- MalaysiaGazette