Sebanyak 4,298 kes positif Covid-19 dilaporkan hari ini dan jumlah itu berkurangan 598 kes berbanding semalam.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan  sebanyak 5,291 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 156, 798.

Ini merupakan bilangan kes baharu harian tertinggi dicatatkan di negeri itu dan hari kelapan berturut-turut bilangan kes harian melebihi angka 3,000 bermula 5 September lalu, kata Pengarahnya, Datuk Dr. Mohamed Sapian Mohamed.

Menurut beliau, jumlah berkenaan adalah dari 28,065 keputusan sampel yang telah diuji dan kadar positif adalah 18.8 peratus dan ia meningkat dari purata 14.5 peratus dan menunjukkan penularan berlaku secara meluas dalam komuniti.

“Peningkatan kes harian telah menyebabkan peningkatan aktiviti pengesanan aktif kontak kepada kes di semua bahagian di Sarawak terutamanya lokaliti yang mempunyai kluster aktif.

“Bilangan sampel yang tinggi ini telah membebankan kapasiti makmal sedia ada dan justeru memanjangkan tempoh masa diperlukan untuk memperoleh keputusan ujian (turn around time) walaupun melalui penyumberluaran telah dilaksanakan.

“Ini mengakibatkan banyak sampel yang tertunggak sehingga lima hari dan walaupun ada tunggakan masa dalam memperoleh keputusan, semua kontak yang berisiko telah diberi Home Surveillance Order bagi mengelakkan penyebaran dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Dr Mohamed Sapian, daripada jumlah 5,291 kes baharu dikesan hari ini, 99.9 peratus kes berada tahap kategori 1 (tidak bergejala) dan kategori 2 (bergejala ringan) semasa dikesan positif.

Ujar beliau, jabatannya sedang dan terus menjalankan pemantauan bagi menilai situasi Covid-19 dan langkah-langkah penambahbaikan dijalankan mengikut situasi semasa.

“Penggunaan Rapid Test Kit (RTK) Antigen akan digunakan dengan lebih meluas di seluruh negeri bagi mengenalpasti kes positif dengan kadar yang cepat agar tindakan kawalan dapat dilakukan pantas .

“Perancangan strategi mitigasi sedang dirangka dan strategi terperinci akan diumumkan dalam masa terdekat setelah dibincangkan bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan KKM.

“Orang ramai diseru terus mematuhi SOP yang betul iaitu memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal setiap masa,” tegas beliau.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Covid-19: 19,198 kes positif baharu, Sarawak catat bilangan tertinggi