Datuk Abdul Malik Dasthigeer

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Datuk Abdul Malik Dasthigeer akan memfailkan saman sebanyak RM50 juta kepada dua akhbar tempatan kerana menyiarkan laporan yang dianggap palsu berkaitan dirinya baru-baru ini.

Pemilik syarikat korporat Malik Streams Corporation Sdn. Bhd itu juga akan menyaman penyebar mesej WhatsApp dan Facebook yang mendakwanya terlibat dalam pelbagai aktiviti haram dan penyeludupan dadah.

Kata Abdul Malik, beliau  terpaksa berbuat demikian kerana mendakwa ada sesetengah pihak bertindak melampaui batas mengaitkan dirinya dengan aktiviti haram serta dadah.

Jelas beliau, namanya telah dikaitkan dengan artikel-artikel laporan berita berkaitan penyeludupan dan sindiket haram pada minggu lalu serta kemudian disensasikan dalam bentuk sindiran membabitkan namanya yang tular menerusi aplikasi WhatsApp dan hantaran Facebook.

“Saya sememangnya terkejut apabila menerima pelbagai panggilan telefon dari ramai berkaitan perkara ini. Malah saya terkejut, kecewa apabila ada akhbar-akhbar tempatan tanpa fakta serta bukti sebenarnya cuba mengaitkan nama saya dalam kegiatan haram di negara ini.

“Saya dapat tahu terdapat mesej-mesej WhatsApp dan video di Facebook tular disiarkan di dalam laman web viral yang mendakwa bahawa saya adalah seorang ada kaitan dengan aktiviti haram antara lain seperti penyeludupan dadah serta lain-lain.

“Tidak cukup dengan itu, dalam Facebook turut disiarkan artikel berita sama dan meletakkan gambar serta nama saya di dalam video tersebut sambil merujuk saya sebagai individu ditangkap polis di dalam berita tersebut.

“Sememangnya ini adalah tidak benar dan malah direka untuk mencemarkan nama saya. Ini adalah sesuatu yang fitnah dan lebih membingungkan apabila ada yang begitu berani siar laporan tanpa fakta, bukti atau usul periksa.

“Ketika ini saya sudah melantik peguam untuk tindakan undang-undang seterusnya apatah lagi ini membabitkan nama saya, maruah saya serta syarikat saya. Tuntutan saman fitnah sebanyak RM50 juta oleh saya akan dihadapi oleh penerbit artikel-artikel, penyebar mesej WhatsApp dan Facebook yang palsu ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dalam pada itu, aktivis sosial itu juga telah membuat laporan polis dan pihak berkuasa itu sedang membuat siasatan terhadap individu-individu yang membuat kenyataan-kenyataan yang palsu dan fitnah terhadap dirinya.

Abdul Malik buat laporan polis terhadap penerbitan artikel serta penyebaran berita berbaur fitnah terhadapnya di IPD Dang Wangi minggu ini.

Beliau juga di dalam proses untuk mengenalpasti orang yang bertanggungjawab terlibat yang menyebarkan fitnah dalam WhatsApp dan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan menjejaskan reputasi, status dan nama saya memandangkan saya adalah seorang ahli perniagaan yang mempunyai reputasi yang baik.

“Sejak kejadian ini saya juga telah mengalami kehilangan dan kerugian terhadap reputasi peribadi dan perniagaan saya. Ini sememangnya satu perilaku yang langsung tidak boleh diterima sama sekali,” tegasnya. -MalaysiaGazette