Agensi keselamatan Malaysia, khususnya Polis Diraja Malaysia, memantau rapat situasi semasa selepas Jepun mengeluarkan amaran kepada warganya termasuk di Malaysia mengenai kemungkinan ancaman pengganas di Asia Tenggara.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Agensi keselamatan Malaysia, khususnya Polis Diraja Malaysia, memantau rapat situasi semasa selepas Jepun mengeluarkan amaran kepada warganya termasuk di Malaysia mengenai kemungkinan ancaman pengganas di Asia Tenggara.

Menurut Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Isnin pihaknya telah memaklumkan nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Jepun mengenai kemungkinan ancaman itu kepada pihak berkuasa berkaitan di Malaysia.

“Malaysia terus memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan, termasuk dalam usaha memerangi keganasan, dengan negara rakan kita di seluruh dunia.

“Perkongsian perisikan dan amalan terbaik adalah komponen penting dalam kerjasama ini,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, seorang pegawai dari Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa amaran telah dikeluarkan kepada warganegara Jepun di Malaysia pagi ini mengenai kemungkinan ancaman pengganas di rantau ini.

Menurut laporan media, Kementerian Luar Jepun telah menasihatkan semua rakyatnya di Indonesia, Filipina, Singapura, Malaysia, Thailand dan Myanmar untuk mengelak berada berdekatan dengan kemudahan keagamaan dan kawasan sesak yang lain.

“Kami mengeluarkan nasihat tersebut selepas menerima arahan dari Tokyo,” katanya tanpa memperincikan lebih lanjut mengenai hal itu.

Pegawai itu berkata buat masa ini terdapat kira-kira 31,000 warga Jepun tinggal di Malaysia.

Amaran itu memetik laporan perisikan dan kemungkinan terdapat serangan ke atas rumah ibadat dan tempat perhimpunan besar-besaran di rantau ini. – BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

Kedutaan Jepun sahkan keluar amaran ancaman pengganas kepada warganya di Malaysia