Pesakit kirtikal yang memerlukan pembedahan segera di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar telah dibawa oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis sekitar jam 10 malam tadi. Foto Ihsan APMM Negeri Kedah dan Perlis

KUALA LUMPUR – Seorang pesakit kritikal yang memerlukan pembedahan segera di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar telah dibawa oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis sekitar jam 10 malam tadi.

Pengarah APMM Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata misi bantuan evakuasi perubatan (MEDEVAC) dilaksanakan selepas menerima permohonan daripada pihak Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi.

“Pesakit  Mohd Taufik bin Osman, 23, menghidap penyakit cerebral toxoplasmosis iaitu jangkitan kuman pada bahagian otak serta perlu menjalani pembedahan segera di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Pesakit dibawa menaiki Bot PERKASA 1228 Maritim Malaysia dari jeti Maritimdi Bukit Malut ke Jeti Kastam Kuala Perlis dengan diiring seorang pegawai perubatan, dua petugas kesihatan dan turut ditemani seorang ahli keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya sentiasa komited dalam menyalurkan bantuan kepada Komuniti Maritim setempat serta mengalu-alukan untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis 04-9662750 atau MERS 999. – MalaysiaGazette