Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berjalan keluar selepas menghadiri prosiding hujahan akhir kes pendakwaan atas pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang melibatkan Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pembelian dua buah banglo yang menggunakan dana Yayasan Akalbudi yang dimiliki bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan wang hasil aktiviti haram.

Sebaliknya dana itu merupakan sumbangan dua ahli perniagaan yang juga telah menjadi saksi pendakwaan ketika prosiding perbicaraan sebelum ini.

Untuk makluman, kedua-dua banglo yang terletak Country Heights, Kajang telah dijadikan pusat kegiatan keagamaan untuk Yayasan Al-Falah milik keluarga Ahmad Zahid yang diuruskan adiknya, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Kedua-dua saksi itu, Junaith Asharab iaitu saksi pendakwaan ke-36 dan Mubarak Hussain Akhtar Husin saksi pendakwaan ke-62 pernah mendedahkan tentang sumbangan tersebut.

Itu antara hujah peguambela Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik ketika prosiding akhir kes pendakwaan bagi kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan Ahmad Zahid.

Kata Hisyam, kedua-dua saksi ketika memberikan keterangan tidak pernah mendakwa atau mendedahkan apa-apa elemen rasuah.

“Sememangnya pendakwaan telah gagal membuktikan sebarang elemen rasuah membabitkan RM5.9 juta hasil aktiviti haram.

“Saksi Mubarak Hussin memberitahu beliau menyumbangkan RM2 juta untuk tujuan pembinaan sebuah sekolah di Melaka, manakala Junaith memberi sumbangan bagi pembinaan masjid dan tahfiz di Bagan Datuk, Perak.

“Ketika keterangan Junaith Asharab mengesahkan juga ada mengesahkan sebanyak 13 cek yang dikeluarkan oleh Mastoro Kenny IT Consultant & Services adalah untuk tujuan kebajian dan sumbangan.

“Saksi ada mengaku berjumpa dengan Ahmad Zahid dan adiknya di kediamannya pada 2016 bagi menyerahkan cek untuk disumbangkan bagi membangunkan masjid dan tahfiz al-Quran di Bagan Datuk.

“Malah ketika pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan, saksi tersebut mengakui, kesemua 13 cek daripada Mastoro Kenny IT Consultant & Services tiada kaitan dengan projek MyEG Services Sdn Bhd,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Ahmad Zahid ketika ini berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding hujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Squareh bersambung esok.

Waktu prosiding juga telah ditukar kepada 2.30 petang memandangkan Ahmad Zahid perlu hadir ke sidang Parlimen yang sudah bermula hari ini sehingga Oktober depan. -MalaysiaGazette