Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika ditemui di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ingkar arahan kuarantin kendiri dengan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu pada 2 September lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya sudah merakamkan keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih itu pada Jumaat lalu.

“Pihak polis kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan dan sebaik selesai kita akan rujuk kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, selain Guan Eng, polis juga telah merekodkan keterangan Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN), pihak Kementerian Kesihatan (KKM) serta pengadu yang membuat laporan berhubung isu tersebut bagi membantu siasatan.

Siasatan kes itu diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP).

MalaysiaGazette pada Rabu lalu melaporkan, Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang didakwa telah melanggar peraturan kuarantin kendiri.

Jurucakap Pemuda Gerakan negeri, Aswad jaafar berkata, Ahli Parlimen Bagan itu sepatutnya menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari iaitu sehingga 10 September namun didapati menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (DUNPP) baru-baru ini.

Peguam Guan Eng memberi alasan anak guamnya itu tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana perlu menjalani kuarantin kendiri tetapi mengapa beliau boleh hadir sidang DUNPP pada 2 September lalu. – MalaysiaGazette