Koleksi jurnal. Gambar hiasan

DALAM konteks sistem pendidikan tinggi di Malaysia, ahli akademik iaitu pensyarah
terikat dengan tujuh skop tugas atau dikenali sebagai 7P iaitu pengajaran dan pembelajaran, penerbitan, penyeliaan, penyelidikan, perundingan, penulisan dan
juga perkhidmatan sosial kepada masyarakat. Semua skop tugas boleh dan perlu dilakukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa namun pencapaian di peringkat antarabangsa akan mencatatkan merit yang lebih tinggi berbanding di peringkat kebangsaan.

Melaksanakan penerbitan melalui penulisan artikel jurnal berilmiah adalah salah satu keutamaan sebagai ahli akademik di universiti dan menjadi Indeks Prestasi Utama (KPI). Penambahan dan penemuan ilmu-ilmu baru atau yang sedia ada perlu dizahirkan dalam bentuk penulisan yang mampu untuk dikongsi, dihujah, dibincang bersama dengan ahli-ahli penyelidik yang lain. Penulisan dalam jurnal dan adalah makalah terbaik yang memaparkan hasil penyelidikan dan teknologi terkini dalam dunia semasa selain penerbitan persidangan, seminar atau sebagainya yang sentiasa membincangkan dan membahaskan ilmu-ilmu dan hasil penyelidikan terkini.

Dengan situasi pandemik Covid-19 sekarang serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan, ahli akademik dibenarkan untuk bekerja dari rumah (BDR). BDR telah menjadi norma baharu yang dilakukan sejak pandemik melanda dunia global, termasuk Malaysia. BDR memperuntukkan ahli akademik melaksanakan tugas hakiki atau tugas-tugas rasmi lain dari rumah pada hari bekerjanya sama ada secara sepenuh hari atau separuh hari bagi sesuatu tempoh, mengikut kesesuaian tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan awam dan diambil kira sebagai hadir bertugas.

Dengan pelaksanaan BDR ini, ahli akademik mempunyai masa yang lebih fleksibel bagi penulisan artikel berilmiah. Jika sebelum ini pensyarah perlu mencari waktu yang sesuai seperti pada waktu malam atau hujung minggu bagi menumpukan kepada penulisan artikel. Hal ini kerana, pada waktu bekerja, mereka telah sibuk dengan pengajaran dan pembelajaran serta kerja-kerja pentadbiran di fakulti dan universiti.

BDR juga memberi kemudahan kepada pensyarah untuk perbincangan bersama penyelidik bersama serta pelajar pascasiswazah dengan menggunakan pelbagai medium online seperti Zoom, Google Meet, Team, atau Webex. Selain itu, pelbagai kaedah perkongsian ilmu diperkenalkan secara inovatif, kreatif dan efektif melalui pendekatan secara digital menjadikan maklumat ilmiah dapat disampaikan lebih mudah.

Pihak universiti juga banyak menganjurkan pelbagai webinar, forum, kolokium, dan juga bengkel secara dalam talian berkenaan dengan penerbitan dan penulisan artikel. Antara pengisian webinar adalah berkenaan asas-asas penulisan, tips-tips penulisan, serta merangka penulisan saintifik seperti penyediaan abstrak, pengenalan, metodologi, perbincangan dan kesimpulan serta menyediakan rujukan.

Selain itu, beberapa nama tersohor dalam dunia penerbitan juga menyediakan siri
webinar kepada pensyarah-pensyarah muda amnya. Antara kandungan webinar yang dijalankan adalah seperti mengenalpasti ciri-ciri artikel yang baik, kesilapan utama dalam penulisan artikel, bagaimana untuk menarik perhatian ketua editor kepada artikel yang dihantar, panduan membuat pembetulan kepada artikel selepas disemak penilai serta pelbagai tips lain yang amat berguna dalam memastikan artikel dapat diterbitkan. Hal ini seterusnya memberi pendedahan kepada para pensyarah untuk menerbitkan artikel dalam jurnal berimpak tinggi.

Namun begitu, ada dalam kalangan ahli akademik menerbitkan tulisan akademik atau kajian menggunakan “jurnal pemangsa” (predatory journals), sebagai jalan pintas mencapai KPI masing-masing. Isu penerbitan artikel dalam jurnal pemangsa atau palsu menjadi perhatian apabila banyak pihak memetik berita penyelidik Malaysia antara tertinggi menerbitkan artikel dalam jurnal terbabit.

Jurnal pemangsa adalah penerbitan dengan kualiti penyelidikan rendah dan isi yang boleh dipersoalkan, dan seringkali terlalu mudah menerima artikel tanpa meneliti dan dalam kebanyakan kes, hanya mementingkan bayaran yuran. Oleh itu, ahli akademik seharusnya membuat penilaian yang terbaik terhadap sesebuah jurnal kerana hal ini akan memberi kesan yang negatif kepada pembangunan intelektual secara keseluruhannya memandangkan pendidikan tinggi merupakan pusat rujukan utama masyarakat merentasi segenap bidang yang ada.

Kesimpulannya, pandemik COVID-19 sudah mengubah keseluruhan sektor pendidikan dan penyelidikan di Institusi Pengajian Tinggi amnya dan memberi impak kepada keseluruhan pihak berkepentingan dalam pendidikan institusi pengajian tinggi termasuk pelajar, pensyarah, pengurusan, pentadbiran, dan badan-badan akreditasi.

Oleh itu, ahli akademik seharusnya bijak mengambil peluang yang ada dalam menyebarluaskan hasil penyelidikan serta kepakaran kepada dunia dalam menjalani
kehidupan yang kian mencabar dengan pelbagai limitasi dan prosedur operasi
standard (SOP).

Dr. Wan Mohd Nuzul Hakimi Wan Salleh
Pensyarah Kanan di Jabatan Kimia,
Fakulti Sains dan Matematik,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)