Polis bongkar makmal proses dadah heroin di daerah Seberang Perai Selatan pada Jumaat lalu.

NIBONG TEBAL – Polis berjaya membongkar operasi satu makmal memproses dadah jenis heroin di sebuah kondominium di Bukit Tambun Jumaat lalu.

Serbuan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kontinjen Pulau Pinang di empat lokasi sekitar daerah Seberang Perai Selatan itu turut membawa kepada penangkapan tujuh lelaki termasuk ketua sindiket serta pakar kimia yang berusia lingkungan 24 hingga 51 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, hasil serbuan membawa kepada penemuan dadah heroin seberat 13.5 kilogram serta serbuk kafein seberat 6.9 kg yang dianggarkan bernilai RM184,335.

Jelas beliau, siasatan lanjut mendapati sindiket berkenaan aktif sejak tiga bulan lalu dan dadah yang diproses itu akan diedarkan untuk pasaran Semenanjung Malaysia.

“Serbuan pertama membawa kepada tangkapan dua lelaki yang ketika itu sedang memasak heroin berkenaan.

“Susulan itu, kita serbu tiga lokasi dalam daerah sama dan tahan lima lagi suspek yang merupakan ketua, pakar kimia serta ahli sindiket.

“Dalam serbuan itu, kita turut menyita enam buah kenderaan mewah, barang kemas serta wang tunai berjumlah RM266,031,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan hari ini.

Antara barang digunakan sindiket untuk memproses heroin yang dirampas polis.

Turut dirampas, bahan kimia, ketuhar serta peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

Mengulas lanjut, Mustafa Kamal Gani berkata, hasil semakan mendapati kesemua tujuh suspek itu positif dadah selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

“Semakan juga mendapati, ketua sindiket serta seorang ahli merupakan pemilik kedai gas masakan manakala selebihnya penganggur.

ASP K. Harinderan dan Inspektor Adila Abd Rahim menunjukkan dadah heroin yang dirampas dalam empat serbuan di daerah Seberang Perai Selatan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan saki baki ahli sindiket yang masih bebas,” kata beliau.

Kesemua tujuh suspek direman tujuh hari sehingga 17 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette