Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan cadangan untuk meningkatkan had siling Kumpulan Wang COVID-19 daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion dan had statutori hutang Kerajaan Persekutuan daripada 60% kepada 65% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di bawah pindaan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) [Akta KWC].

Kelulusan itu dibuat semasa mesyuarat Jemaah Kabinet pada 10 September lalu.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pindaan rang undang-undnag (RUU) tersebut akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Rakyat pada bulan Oktober ini.

Antara lainnya, ia bertujuan mengukuhkan sistem kesihatan awam terutamanya bagi membendung penularan wabak Covid-19 dan merawat pesakit Covid-19 serta menambahbaik bantuan tunai langsung kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta PKS mikro.

Serentak itu, MOF juga telah mengarahkan institusi perbankan untuk mengusahakan pengecualian bayaran faedah bagi penerima moratorium pinjaman bank dengan segera.

Ini melibatkan penerima moratorium dari kumpulan 50% terbawah daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk sepanjang tempoh tiga bulan pada suku keempat 2021.

”Kerajaan dan MOF telah berkali-kali mengulangi komitmen rakyat dan perniagaan yang memerlukan bantuan akan tetap disokong sebaik mungkin, dan untuk itu had siling Kumpulan Wang Covid-19 akan ditingkatkan jika perlu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Seterusnya, melalui Bajet 2022, MOF akan berusaha mempercepatkan pemulihan ekonomi menerusi penggubalan dasardasar yang mesra perniagaan dan pelaburan, serta meningkatkan lagi daya tahan negara.

Bajet 2022 juga akan menerapkan beberapa aspek penyusunan semula yang akan menyokong objektif Rancangan Malaysia Ke-12 dalam memacu pertumbuhan yang lebih lestari, mampan dan berdaya saing.

Katanya, fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 dan semangat muafakat rentas parti yang telah tercapai diharapkan akan membawa kembali sinar kepada rakyat.

”Keutamaan MOF adalah melindungi nyawa daripada ancaman Covid-19 dan memastikan prospek pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh, didorong oleh Pelan Pemulihan Negara dan prinsip pengurusan kewangan yang berhemah.

”Kementerian Kewangan terus komited dalam mengambil langkah strategik, proaktif dan tegas bagi mendepani situasi Covid-19 yang mencabar, serta menghadkan kesan yang berpanjangan ke atas ekonomi akibat krisis ini,” tambahnya dalam kenyataan tersebut.

Tengku Zafrul berkata, MoF turut menyambut baik persefahaman yang telah dicapai antara kerajaan dan Pakatan Harapan melalui Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik.

Menyifatkan ia detik yang bersejarah bagi negara, yang mana persengketaan politik diketepikan demi kesejahteraan rakyat dalam menghadapi pandemik Covid-19, katanya,  MOF yakin kestabilan politik ini juga akan menyumbang kepada persekitaran yang lebih stabil dan kondusif untuk perkembangan sektor pelaburan, pasaran modal dan ekonomi negara.

Dipadankan dengan faktor-faktor kelonggaran mobiliti bagi rakyat yang telah lengkap divaksinasi, serta pembukaan banyak lagi sektor-sektor ekonomi termasuk pelancongan berkonsepkan gelembung perjalanan, persefahaman ini bakal menzahirkan impak positifkepada pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku keempat 2021 dan seterusnya bagi tahun 2022.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan pakej rangsangan, pembukaan semula ekonomi dan struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai telah berjaya mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 16.1% bagi suku kedua 2021.

”MOF yakin bahawa persefahaman politik yang baru dimeteraisemalam akan terus mendokong asas pemulihan ekonomi dan unjuran pertumbuhan KDNK 3.0% hingga 4.0% bagi tahun 2021,” ujar beliau. – MalaysiaGazette