Mohd Shuhaily (tengah) mengadakan sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang bercadang menutup premis serta kawasan riadah yang menjadi tumpuan sekiranya orang ramai masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di negeri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, langkah itu diambil susulan pemantauan polis pada hujung minggu lepas mendapati terlampau ramai pengunjung di beberapa lokasi tumpuan rekreasi negeri itu.

Antara lokasi yang sesak yang dikunjungi termasuk kawasan pantai di Batu Feringghi; Empangan Mengkuang dan lain-lain.

“Setakat ini, kita hanya melakukan pemantauan tiada sebarang tindakan terhadap diambil mereka yang telah ke lokasi berkenaan.

“Bagaimanapun, kita tidak teragak-agak mengemukan cadangan kepada kerajaan negeri untuk menutup lokasi riadah tersebut sekiranya orang ramai masih gagal mematuhi SOP,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Pulau Pinang telah memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 7 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, pengunjung dinasihatkan beredar jika lokasi riadah berkenaan terlalu ramai bagi mengelakkan sebarang jangkitan Covid-19 berlaku.

Kata beliau, selain lokasi riadah dan pelancongan, premis turut dipantau pihaknya agar SOP tidak diabaikan di tempat tersebut.

“Suka saya ingatkan bahawa Pulau Pinang belum keluar daripada ancaman Covid-19 dan kita masih mencatatkan empat digit kes positif setiap hari.

“Sehubungan itu, saya nasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan walaupun beberapa aktiviti telah dibenarkan dalam Fasa 2 PPN,” kata Mohd Shuhaily. – MalaysiaGazette