SHAH ALAM – Polis Klang Selatan telah mengawal keadaan di hadapan Pejabat Pos Jalan Stesen, Klang susulan tular video sekumpulan warga asing yang berkumpul di pejabat itu hari ini tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 8.30 pagi tadi daripada Pengurus Pejabat Pos Klang memaklumkan sekumpulan warga asing berkumpul di hadapan pejabat itu dan keadaan menjadi tidak terkawal apabila mereka tidak mengikut SOP ditetapkan dan tiada penjarakan fizikal.

Shamsul Amar berkata kehadiran warga asing di lokasi berkenaan dianggarkan seramai 130 orang dari awal pagi untuk mengambil pasport yang telah siap memandangkan pihak kedutaan Bangladesh telah melantik Pos Malaysia Klang sebagai ejen untuk membolehkan warganegara mereka mengambil pasport yang telah diperbaharui.

“Pihak polis dari pasukan pematuhan SOP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan yang diketuai Insp Mohd Shaipudin Mohamed telah hadir di lokasi kejadian dan berjaya meredakan keadaan tidak terkawal itu.

“Pasukan pemantau dan pematuhan SOP IPD Klang Selatan juga akan ditugaskan untuk membantu mengawal keadaan di Pos Malaysia Cawangan Klang bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.- BERNAMA