Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat menunjukkan sebahagian daun ketum seberat 5,660 kilogram yang berjaya dirampas selepas menahan sebuah lori simen di sekatan jalan raya (SJR) dekat Chetok Tok Uban awal pagi tadi pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

PASIR MAS – Cubaan dua lelaki menyeludup 5,660 kilogram (kg) daun ketum bernilai kira-kira RM200,000 menggunakan sebuah lori tangki gagal, apabila berjaya dikesan polis dalam sekatan jalan raya (SJR) dekat Chetok Tok Uban, di sini hari ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata lori tangki itu ditahan pada pukul 2.30 pagi tadi selepas pihak polis menerima maklumat berkaitan kegiatan itu kira-kira pukul 1 pagi.

Beliau berkata lori terbabit dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dan ditemani rakannya berusia 46 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Tanah Merah ke Machang.

“Anggota yang menerima maklumat itu kemudiannya berjaya mengesan lori tangki itu berdekatan Jedok, Tanah Merah dan mengekorinya selama sejam sebelum bertindak menghubungi pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk membuat penahanan di SJR Chetok.

Setibanya lori itu di SJR, pemeriksaan telah dilakukan dan pemandunya telah menunjukkan bungkusan-bungkusan mengandungi daun ketum yang kesemuanya berjumlah 566 bungkusan iaitu setiap satunya seberat 10 kg,” katanya pada sidang media di IPD Pasir Mas, di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun dan Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohd Nasaruddin M Nasir.

Shafien berkata susulan penemuan daun ketum itu kedua-dua lelaki terbabit ditahan dan dibawa ke IPD Pasir Mas untuk siasatan lanjut.

Katanya siasatan awal mendapati daun ketum berkenaan dipercayai diperoleh dari utara Semenanjung dan laluan di Pasir Mas hanya sebagai transit sebelum diedarkan ke negara jiran.

Beliau berkata lori tangki itu baru sebulan dibeli oleh pemandu lori berkenaan semata-mata untuk digunakan bagi kegiatan tersebut.

“Kedua-dua lelaki terbabit yang dikesan positif dadah jenis morfin direman selama lima hari bermula hari ini iaitu 14 hingga 18 September untuk siasatan lanjut,” katanya.

Shafien berkata kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.- BERNAMA