Azalina Othman Said Covid-19 positive
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Transformasi Pentadbiran yang dicadangkan oleh kerajaan baru-baru ini, perlu bersekali dengan wujudnya Rang Undang-Undang (RUU) Akta Lompat Parti.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, akta itu wajib dan wajar dilakukan secepat mungkin supaya perbuatan ‘katak lompat’ dapat dibendung dan memakmurkan institusi Parlimen pada masa akan datang.

Beliau berkata, dalam Islam, apabila seseorang isteri itu dicerai, perlu menjalani iddah selama tiga bulan 10 hari selepas gugur talak.

“Sebab itu dalam Islam, bila cerai kena ada masa iddah lepas gugur talak, tiga bulan. Dia kena rilek (tenang).. fikir nak cerai ke tak nak cerai, nak sambung ke tak nak sambung.

“Jadi, apa yang saya cadangkan di sini, RUU Pemecatan Ahli Parlimen ini biarlah referendum dibuat kepada rakyat untuk menentukan sama ada wakil rakyat yang lompat itu perlu diganti atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Parlimen, hari ini.

Sebelum itu, beliau mengamatkan dewan dengan menjual serangkap pantun, “Lompat si katak lompat, lompat di dalam perigi; Lompat jangan tak lompat, nanti tak sempat menjadi,”.

Katanya, sebab itu beliau sendiri dengan tegas dan di atas konsep demokrasi memyediakan RUU Akta Lompat Parti dan mahu kerajaan wujudkan akta itu.

Beliau menegaskan, lompat parti adalah perbuatan sangat bahaya kerana ia akan menjejaskan sesebuah pentadbiran kerajaan.

“Tidak kiralah dia lompat kerana apa. Kerana dipecat atau kerana digabungkan atau kerana tidak suka kepada parti, maka mereka pergi (lompat).

“Justeru, bagi mengekang perbuatan ini, saya mewujudkan mekanisme RUU ini yang dinamakan Akta Lompat Parti Pemecatan Ahli Parlimen supaya senarionya terbuka dan diberikan kuasa kepada rakyat untuk  sama ada nak ganti atau tidak kepada wakil rakyat yang lompat itu,” katanya.

Oleh itu, Azalina mahu kerajaan segera mewujudkan akta itu kerana kalau seseorang wakil rakyat hendak lompat, mereka akan lompat tidak kira masa.

“Siang pagi malam petang mereka akan lompat.

“Saya minta tolong kepada Ahli Parlimen dan Menteri Undang-undang (Datuk Deri Dr. Wan Junaidu Tuanku Jaafar) untuk memberikan laluan khas kepada RUU saya ini untuk didebatkan dan diambil alih oleh kerajaan.

“Ia sebagai asas kepada Akta Anti Lompat Parti dan Pemecatan Ahli Parlimen 2021 digabungkan untuk mewujudkan Parlimen yang lebih berwibawa,” katanya. – MalaysiaGazette