Seorang warga emas tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia ketika menunggu di tempat duduk untuk berurusan di kaunter JPJ Cawangan Bangi. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pagi ini mengesahkan tentang satu kejadian membabitkan seorang lelaki tempatan yang berusia 76 tahun yang meninggal dunia di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bangi, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi.

Mangsa dipercayai meninggal dunia di kerusi ruang menunggu kaunter JPJ itu dalam kejadian dipercayai berlaku lebih kurang jam 10.21 pagi semalam.

Kata JPJ, sebelum kejadian, mangsa yang merupakan seorang warga emas telah diberikan layanan khas untuk berurusan dengan Pejabat JPJ Cawangan Bangi, tanpa perlu beratur.

“Mangsa kemudian telah dibawa ke kerusi ruangan menunggu pelanggan sebelum dipanggil untuk melaksanakan urusniaga JPJ.

“Mangsa juga telah diambil suhu badan (normal) serta telah menunjukkan status MySejahtera (lengkap vaksinasi).

“Semasa di ruangan menunggu, mangsa dikatakan dengan tiba-tiba telah tidak sedarkan diri,” kata Ibu Pejabat JPJ dalam kenyataan hari ini.

Tambah JPJ Putrajaya lagi, panggilan kecemasan (MERS 999) telah dibuat oleh Ketua Bahagian Pengurusan JPJ Cawangan Bangi.

Susulan itu, sebuah ambulans bersama pasukan paramedik telah tiba bagi tujuan memeriksa keadaan mangsa.

“Walau bagaimanapun, mangsa disahkan sudah meninggal dunia dan mayatnya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk tindakan bedah siasat,” kata JPJ Putrajaya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, yang turut mengesahkan kejadian itu telah mengklasifikasikan kejadian ini sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung dengan kejadian yang berlaku ini dan menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Hospital Kajang.

“Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.- MalaysiaGazette