Tukang baiki dapur yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk dan melawan arus di Lebuhraya Kesas berjaya dicekup polis dalam kejadian awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang memandu keretanya melawan arus di Lebuhraya Klang-Shah Alam (Kesas) awal pagi tadi ditahan polis.

Dalam kejadian jam 12.01 tengah malam tadi lelaki yang memandu antara Kilometer (KM) 23 hingga KM20 di lebuh raya tersebut didapati berada di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu melalui seorang peronda Lebuhraya Kesas menerusi panggilan telefon yang menyatakan seorang lelaki memandu kenderaan secara melawan arus dari susur Bandar Puteri sehingga tol Kota Kemuning.

“Polis Peronda berjaya menangkap suspek di lokasi kejadian sebelum dilibatkan dalam ujian kandungan alkohol iaitu Ujian S-D2+ telah dilakukan di Balai Polis Trafik Klang Selatan.

“Hasilnya pemandu itu didapati positif dengan bacaan mengandungi kandungan alkohol melebihi had yang ditetapkan iaitu bacaan 400 miligram per 100 mililiter dan ujian EBA-II 215MG/100ML alkohol di dalam badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, lelaki berusia 36 tahun itu menetap di Petaling Jaya dan bekerja sebagai tukang membaiki dapur.

Tambah beliau, kes diklasifikasikan dan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan suspek tidak punyai rekod jenayah lampau tetapi memiliki tiga rekod saman trafik kerana terlibat dalam kemalangan.

“Pemandu mabuk itu memberi kerjasama dan diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” ujarnya.

Menurut Shamsul Amar, kertas siasatan akan dilengkapkan polis untuk diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut. – MalaysiaGazette