Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Pemberian vaksin secara ‘walk-in’ kepada warga asing di Pulau Pinang akan bermula Jumaat ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sebanyak empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dipilih untuk pelaksanaan mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’ itu.

“Empat PPV berkenaan adalah Spice Convention Centre; Dewan Milenium; SP Arena dan Dewan Serbanguna Sungai Bakap.

“Waktu operasi bagi pemberian vaksin kepada mereka (warg asing) bermula pada jam 2 petang setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah beliau, sehingga semalam, seramai 9,011 individu bagi populasi dewasa berstatus warganegara telah mengambil vaksin secara ‘walk-in’ sejak inisiatif itu dilaksanakan pada 8 September lalu.

Mengulas mengenai perkembangan vaksinasi bagi golongan dewasa di negeri itu, Kon Yeow menegaskan data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sehingga semalam mendapati seramai 116,403 golongan dewasa masih belum memperoleh sebarang suntikan.

“Populasi golongan dewasa di negeri ini mengikut Jabatan Perangkaan ialah seramai 1,384,600 dan daripada jumlah itu seramai 116,403 individu  yang masih belum menerima suntikan.

“Bagaimanapun, jumlah baki tersebut termasuk mereka yang telah mendapatkan suntikan secara berbayar (atas inisiatif sendiri) di klinik-klinik dan hospital-hospital swasta berdaftar,” kata Kon Yeow. – MalaysiaGazette