Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri memberi jaminan untuk terus memperhalusi  terhadap isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak terutama dari aspek rakan kongsi setaraf dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, perkara berkaitan yang perlu diselesaikan melalui rundingan dalam Majlis Khas MA63 yang dipengerusikan oleh beliau dan dianggotai Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor; Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Abang Openg serta lapan Menteri Persekutuan.

”Setiap kali menjelang Hari Malaysia, persoalan ‘equal partners’ sering dibangkitkan. Kerajaan, melalui MA63 berjanji memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak,” katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah.

Menurutnya, usaha ini membuktikan kerajaan komited dalam memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan pelbagai perkara penting bagi negeri Sabah dan Sarawak.

Beliau menambah, kita perlu bersyukur, meskipun Malaysia sebuah negara yang negeri-negerinya terpisah oleh Laut China Selatan, setiap cabaran telah berjaya ditangani dan dihadapi dengan kerangka tindakan toleransi dan demokratik, berpaksikan keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.

Mengambil semangat Sambutan Hari Malaysia pada hari ini, perdana menteri menyeru rakyat negara ini menghayati dengan mendalam makna hari yang bersejarah ini.

Sebagai Keluarga Malaysia yang besar, kita harus bertoleransi dalam semua perkara, hormat menghormati serta mengekalkan perpaduan yang merentasi ideologi politik demi negara Malaysia yang dicintai.

Tambahnya, perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa, selain integrasi nasional silang budaya, serta merentasi ideologi politik, adalah tunjang kekuatan kita sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya.

”Ayuh Keluarga Malaysia, kita bulatkan tekad dan bersatu hati untuk terus memelihara serta mempertahankan kedaulatan negara.

”Umpama selembar benang, dikait, ditenun dan dijalin akhirnyamenjadi kain yang sempurna indahnya. Itulah semangat Keluarga Malaysia yang menjunjung utuh perpaduan,” tambahnya. – MalaysiaGazette