Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain.

KUALA LUMPUR – Pasukan-pasukan yang bakal berentap di TM Piala Malaysia 2021 sudah mula mencongak peluang masing-masing selepas mengetahui pencabar di peringkat kumpulan dan bersedia berikan segalanya dalam usaha memburu kejuaraan.

Bagi ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain, beliau meletakkan suku akhir sebagai sasaran awal dalam saingan TM Piala Malaysia sambil mengesahkan kapten pasukan, Carli De Murga akan kembali beraksi selepas diketepikan dari empat perlawanan terakhir Liga Super ekoran kecederaan sekaligus memberi kesan kepada prestasi pasukan.

Namun, Nafuzi percaya dengan kehadiran semula De Murga dapat memberi kekuatan yang berbeza kepada pasukan apatah lagi Terengganu dijangka berdepan laluan sukar apabila diundi dalam kumpulan B bersama-sama Selangor FC, Perak FC dan satu lagi pasukan Liga Premier.

Justeru, beliau mahu pasukan fokus untuk melepasi ke peringkat suku akhir terlebih dahulu sebelum cuba membawa pasukan ke final selepas kali terakhir beraksi di pentas final adalah pada tahun 2018.

“Saya boleh katakan laluan yang bukan mudah untuk Terengganu kalau nak dibandingkan dengan kumpulan yang lain kerana Selangor juga kuat dan Perak juga kita tidak boleh pandang rendah.

“Tetapi untuk saya, kita akan cuba melepasi hingga suku akhir dahulu, kerana selaku ketua jurulatih, saya sendiri belum pernah merasa sehingga ke pentas final.

“Tahun 2018, kami naib juara dan waktu itu saya sebagai penolong jurulatih kepada Irfan Bakti dan mesti la untuk musim ini, saya nak cuba sehingga ke tahap yang terbaik.

“Sementara itu, De Murga dah kembali ke padang berlatih dan saya tengok keadaan dia juga semakin baik, jadi saya rasa tiada masalah untuk dia beraksi nanti ”, katanya

Dalam pada itu, pengendali Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak juga lega dua tonggak import, Rabih Ataya dan Kpah akan kembali memperkuatkan pasukan yang sebelum ini terikat dengan skuad kebangsaan masing-masing menghadapi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022.

Meskipun Kedah diundi dalam kumpulan C bersama-sama Melaka United FC dan dua lagi pasukan daripada Liga Premier, Aidil tidak melihat ia sebagai pertembungan yang mudah kerana saingan Piala Malaysia pastinya berbeza berbanding Liga Super.

“Apa-apa sahaja boleh berlaku dalam Piala Malaysia tidak kira prestasi kita bagus atau tidak dalam saingan liga.

“Yang penting, pasukan saya sudah harungi saingan liga yang memenatkan pada musim ini, dan saya harap kami semua akan lebih cemerlang di Piala Malaysia kerana jadual yang lebih teratur malah kembalinya Rabih Ataya dan Kpah Sherman, saya percaya pasukan akan lebih kuat dan konsisten”, katanya. – MalaysiaGazette