Mohd Shuhaily (tengah) berbual dengan pengunjung sebuah kafe di pusat beli-belah Gurney di sini, hari ini.

BATU FERINGGHI – Sistem penggiliran nombor akan diguna pakai di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terlibat dalam urusan vaksinasi secara ‘walk-in’ kepada warga asing di Pulau Pinang bermula esok.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tindakan itu diambil bagi mengelakkan berlaku kesesakan pengambil vaksin di PPV terlibat.

Mohd Shuhaily (kiri).

“Program pemberian vaksin di PPV negeri ini berjalan dalam keadaan teratur dan kita jangka tiada masalah untuk ‘walk-in’ kali ini.

“Seperti inisiatif ‘walk-in’ kepada warga tempatan sebelum ini, kita akan gunakan sistem penggiliran di mana 500 nombor akan diberikan dan sekiranya jumlah yang hadir melebihi angka itu mereka akan diarahkan pulang.

“Bagaimanapun, pihak polis akan terus melakukan pemantauan di PPV berkenaan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan dan sekiranya masih ada pihak yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan, tindakan penguatkuasaan akan diambil,” katanya.

Terdahulu, Mohd Shuhaily dan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong meninjau pusat beli-belah serta kawasan riadah bagi memantau tahap pematuhan orang ramai berhubung SOP Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.

Antara lokasi yang ditinjau termasuk Pantai Miami, Batu Feringghi serta pusat beli-belah Gurney, di sini.

Mohd Shuhaily (depan) bersama Soffian meninjau kawasan Pantai Miami di Batu Feringghi di sini, hari ini.

MalaysiaGazette semalam melaporkan pemberian vaksin secara ‘walk-in’ kepada warga asing di Pulau Pinang akan bermula Jumaat ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sebanyak empat PPV dipilih untuk pelaksanaan mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’ itu.

“Empat PPV berkenaan adalah Spice Convention Centre; Dewan Milenium; SP Arena dan Dewan Serbanguna Sungai Bakap.

“Waktu operasi bagi pemberian vaksin kepada mereka (warga asing) bermula pada jam 2 petang setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette